REMBAU, 20 Sept (Bernama) -- Program “Sopit Biru Sungai Timun” antara produk pelancongan Negeri Sembilan yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung menerusi keunikan warisan dan alam semula jadi di Pangkalan Nelayan Sungai Timun di sini, kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata program itu bukan sahaja menawarkan aktiviti memancing udang galah atau sepit biru tetapi juga pengalaman menikmati keindahan alam semula jadi seperti menyaksikan kelip-kelip, mencerap bintang, menikmati makanan tempatan serta menyelami kehidupan dan budaya masyarakat setempat.
Ismail berkata kelebihan itu turut membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat untuk memperoleh manfaat secara langsung daripada aktiviti pelancongan dan ekopelancongan.
"Apabila pengunjung ke Sungai Timun, mereka akan menggunakan khidmat pengusaha bot, menginap di chalet tempatan dan membeli makanan peniaga setempat.
“Inilah bentuk pembangunan pelancongan yang kita mahu iaitu pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti," katanya berucap pada majlis perasmian program berkenaan di Pangkalan Sungai Timun di sini hari ini.
Menteri Besar berkata sebanyak 14,000 benih udang galah dilepaskan di Sungai Timun bersempena dengan Program Cabaran Sopit Biru Sungai Timun 2026.
Beliau berkata pada tahun lepas, lebih 650,000 benih ikan dan udang dilepaskan di perairan Negeri Sembilan sebagai usaha pemeliharaan ekosistem sungai.
Pada program itu, pelbagai pengisian disediakan kepada pengunjung antaranya pertandingan memasak udang galah, bot berhias, Joran Jaguh Kampung, Jualan Rahmah, pameran jabatan dan agensi serta aktiviti pada sebelah malam seperti melihat kelip-kelip di sepanjang Sungai Timun serta mencerap bintang.
-- BERNAMA