SIK, 20 Sept (Bernama) -- Penubuhan Academic Centre of Excellence (EV-MIACE) yang memberi tumpuan kepada teknologi motosikal elektrik, berupaya memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang tersebut.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), institusi latihan pertama di negeri ini yang bakal menawarkan latihan tersebut dengan kerjasama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas).
“Pusat berkenaan bukan sekadar menjadi pusat latihan kepada pelajar, malah berpotensi berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan inovasi teknologi kenderaan elektrik (EV).
“Kolaborasi ini bukan sahaja memberi kepakaran dari sudut teknologi EV kepada pelajar, malah turut memberi peluang kepada tenaga pengajar untuk meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi ke-13 Kolej KEDA dan Pelancaran EV-MIACE Kolej KEDA-Modenas di sini, hari ini.
Rubiah berkata perkembangan teknologi EV ketika ini, membuka peluang baharu kepada graduan TVET untuk menguasai kemahiran yang diperlukan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka sama ada dalam mahupun luar negara.
“Harapan kita, kolaborasi bukan sekadar membolehkan perkongsian kepakaran dari sudut teknologi EV, malah turut memberi ruang untuk menjana tenaga kerja mahir. Banyak lagi memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama industri lain diadakan bagi memastikan sistem pendidikan kita lebih teratur dan menyeluruh," katanya.
Beliau berkata bidang automotif tidak hanya tertumpu kepada teknologi EV, sebaliknya pelajar berpeluang mempelajari bidang automotif lain termasuk motosikal berkuasa tinggi.
“Kita mahu mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi dan keperluan pada masa ini yang dilihat semakin meningkat. Setakat ini bidang automotif, hampir 100 peratus pelajar yang keluar mendapat peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata kursus baharu yang ditawarkan itu adalah bagi tempoh enam bulan pengajian namun Kolej KEDA turut merancang untuk menawarkan kursus jangka pendek kepada pekerja industri atau individu yang berminat.
Majlis Graduasi Kolej KEDA kali ini menyaksikan seramai 367 graduan berjaya melengkapkan pengajian kemahiran dan diploma, manakala 115 lagi ialah graduan Tahfiz TVET.
-- BERNAMA