KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli mengutip tujuh mata selepas menamatkan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Austria di tempat kesembilan hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Litar Red Bull Ring, pelumba yang lebih dikenali sebagai Hakim Danish itu mencatat masa 33 minit 45.917 saat (s), sekali gus menyaksikan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mengumpul 101 mata untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan.
Hakim Danish turut menjarakkan kedudukan kepada satu mata di depan pelumba Honda Team Asia dari Indonesia Veda Pratama yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.
Pendahulu carta Moto3 daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team Maximo Quiles muncul sebagai pelumba terpantas selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 33:24.323s.
Pelumba Red Bull KTM Ajo Brian Uriarte menduduki tempat kedua (33:26.657s) manakala rakan sepasukannya Alvaro Carpe melengkapkan podium di tempat ketiga (33:31.717s).
Perlumbaan MotoGP seterusnya dijadualkan berlangsung pada GP Jepun dari 2 hingga 4 Okt ini.
-- BERNAMA