Dunia 20/09/2026 06:19 PM

Rakyat Rusia Di Malaysia Keluar Mengundi Dalam Pilihan Raya State Duma

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rakyat Rusia Di Malaysia Keluar Mengundi Dalam Pilihan Raya State Duma
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov (kanan) dan isterinya Marina Latypova melakukan proses mengundi sempena pilihan raya Parlimen Rusia di Kedutaan Rusia. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Meskipun jerebu menyelubungi Lembah Klang dan suasana pagi Ahad yang santai, rakyat Rusia yang menetap di Malaysia dilihat berjalan kaki di sepanjang Jalan Ampang atau menggunakan perkhidmatan e-panggilan untuk ke Kedutaan Rusia di sini.

Mereka menuju ke kedutaan itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan mengundi dalam pilihan raya Dewan Rendah Parlimen Rusia (State Duma) yang berlangsung dari 18 hingga 20 Sept.

Proses pengundian berjalan lancar, dengan kakitangan kedutaan bergilir-gilir mendaftarkan pengundi dan mengeluarkan kertas undi.

Dua tempat mengundi disediakan untuk pengundi menandakan kertas undi sebelum memasukkannya ke dalam peti undi.

Di luar kedutaan, sebuah kereta peronda polis Malaysia turut dilihat melakukan pemantauan.

Antara yang mengundi ialah Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov dan isterinya Marina Latypova, yang menunaikan tanggungjawab itu kira-kira 11 pagi.

Ketika itu, hampir 100 rakyat Rusia telah mengundi.

Walaupun dianggarkan kira-kira 2,000 rakyat Rusia menetap di Malaysia dengan majoritinya di Kuala Lumpur, hanya kira-kira 300 berdaftar.

Antara pengundi ialah seorang remaja lelaki yang baru berusia 18 tahun dan teruja untuk mengundi buat kali pertama.

Latypov berkata Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur memilih untuk mengadakan pengundian pada Ahad dari 8 pagi hingga 8 malam waktu Malaysia.

Selepas pengundian ditutup, pihak kedutaan akan mengira undi dan menghantar keputusan ke Moscow.

"Kuala Lumpur merupakan satu-satunya pusat pengundian di Malaysia kerana kebanyakan rakyat Rusia berada di bandar raya ini. Proses pengundian adalah bebas dan terbuka. Kami berharap ia akan berjalan lancar serta berlangsung dalam suasana yang baik dan tenang.

"Hari ini, kami mempunyai seorang pemerhati khas pilihan raya yang dilantik oleh Dewan Awam Rusia dalam kalangan rakyat Rusia yang tinggal di Malaysia. Pilihan raya ini amat penting bagi masa depan negara kami," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai kepentingan pilihan raya itu, Latypov berkata ia menunjukkan bahawa Rusia sebuah negara yang kukuh dan bersatu padu serta akan membangun dengan pesat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia kerana membantu kedutaan itu mengendalikan proses pengundian, khususnya Kementerian Luar dan Polis Diraja Malaysia, dalam memastikan keselamatan rakyat Rusia yang datang mengundi di kedutaan berkenaan.

Pengundi turut termasuk delegasi 10 anggota dari Pusat Kanak-Kanak Antarabangsa Artek Rusia yang terletak di pesisir Laut Hitam, yang tiba di Malaysia pada Sabtu dan dijadual berada di negara ini selama seminggu.

Seorang anggota delegasi, Anastacia Gorokhova, 34, dari Crimea, berkata beliau teruja dan bangga dapat menunaikan tanggungjawab kepada negaranya ketika menjalankan tugas rasmi jauh dari tanah air.

Daripada kira-kira 143 juta penduduk di Rusia, negara terbesar di dunia dari segi keluasan, lebih 111 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya ini, termasuk 1.8 juta pengundi berdaftar yang tinggal di luar negara.

Di Rusia, pengundian dijalankan secara dalam talian dan bersemuka, manakala rakyat Rusia yang tinggal di luar negara termasuk di Malaysia akan mengundi mengikut aturan di pusat pengundian luar negara masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Rusia (CEC) melaporkan bahawa 333 pusat pengundian di luar negara disediakan di 152 negara bagi membolehkan rakyat Rusia memilih 450 anggota State Duma.

Sputnik/RIA Novosti melaporkan Presiden Vladimir Putin menyifatkan pilihan raya State Duma sebagai acara politik domestik yang penting bagi negara itu.

-- BERNAMA