KUANTAN, 20 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai merakam video seorang wanita ketika berada di dalam tandas sebuah kedai serbaneka di Bandar Inderapura, Jerantut semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintenden Nor Azman Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila mangsa berusia 26 tahun, yang juga pelanggan kedai berkenaan, mendakwa ternampak perbuatan seseorang di tandas bersebelahan yang dipercayai sedang merakam dirinya menggunakan telefon bimbit melalui bahagian atas tandas.
“Susulan itu, mangsa bersama ahli keluarganya memeriksa tandas bersebelahan sebelum suaminya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut bagi mendapatkan bantuan.
“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Jerantut yang tiba di lokasi kemudian berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 16 Plus yang dipercayai digunakan dalam perbuatan itu untuk dibawa ke Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia bagi tujuan analisis.
Nor Azman berkata suspek direman selama tiga hari sehingga 22 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA