MELAKA, 20 Sept (Bernama) -- Kekangan kewangan keluarga selepas bapanya diserang angin ahmar hampir menyebabkan Nurul Shahira Dharmadeydjaya, 22, berhenti belajar, namun dorongan bapanya menguatkan tekad beliau untuk meneruskan pengajian di menara gading.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu kini berada pada semester ketiga pengajian Sains Persekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pengajiannya.
Nurul Shahira berkata pada awalnya beliau tidak mahu menyambung pengajian kerana hanya ibunya yang bekerja untuk menanggung keluarga, namun bapanya Dharmadeydjaya Sukar, 50, terus memberikan semangat dan mahu melihat anaknya itu berjaya dalam bidang yang diceburinya.
“Setiap kali cuti semester, saya akan kerja sambilan sama ada di kedai jualan produk minuman, petugas bankuet atau sebagai penyedia ais krim untuk majlis perkahwinan, di mana-mana yang ada kekosongan.
“Wang hasil kerja akan disimpan untuk menampung keperluan pengajian dan kadangkala digunakan untuk membantu adik-beradik lain yang juga masih belajar,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh di sini hari ini.
Nurul Shahira adalah antara empat penerima Biasiswa Anak eKasih (BAeK) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim pada sesi penyerahan di Melaka hari ini.
Nurul Shahira dijadualkan meneruskan pengajian pada 28 Sept ini, dan bantuan itu memberi ruang kepadanya untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang Sains Persekitaran di UKM.
Sementara itu, ibunya Masayu Salleh, 43, berkata pendapatan bersih kira-kira RM1,800 sebulan tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga selepas suaminya diserang angin ahmar, selain masih mempunyai anak-anak yang bersekolah dan melanjutkan pengajian.
Beliau berkata jumlah pendapatan berkenaan terhad dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan isi rumah selain perlu menjelaskan bayaran ansuran bulanan rumah.
“Kalau saya seorang, memang tidak cukup tetapi apabila Nurul Shahira luahkan rasa takut tidak mampu tanggung pengajian, saya pesan kepadanya agar tidak berhenti kerana pengajian sudah separuh jalan dan perlu dihabiskan.
“Alhamdulillah dengan biasiswa yang diterima itu secara tidak langsung dapat meringankan beban belanja dan menampung keperluan belajar untuk beliau meneruskan impiannya,” katanya.
-- BERNAMA