Am 20/09/2026 03:16 PM

IBS Percepat Pembinaan Semula Surau Kampung Tebat Kering

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IBS Percepat Pembinaan Semula Surau Kampung Tebat Kering
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada majlis perasmian Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi Tahun 2025 di Kampung Tebat Kering, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA PILAH, 20 Sept (Bernama) -- Teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang digunakan dalam pembinaan semula Surau Kampung Tebat Kering menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi mempercepat tempoh pembinaan, sekali gus menyediakan kemudahan lebih selesa serta selamat kepada penduduk setempat.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata surau asal yang terlalu uzur dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baharu yang lebih kukuh, lengkap dengan perancangan pendawaian elektrik yang selamat serta mematuhi piawaian keselamatan.

"IBS membolehkan struktur siap dalam tempoh singkat, sekali gus mempercepat penyerahan fasiliti ini untuk kegunaan harian penduduk setempat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah Nawal Mohamed Amin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak serta barisan pengurusan tertinggi agensi kementerian.

Fahmi berkata kementerian turut melaksanakan projek menaik taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu dan Kampung Tebat dengan peruntukan hampir RM1 juta bagi menyediakan kemudahan lebih selesa untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Projek pembinaan semula Surau Kampung Tebat Kering bermula dengan penyerahan tapak pada 27 Nov 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 Sept lepas, manakala projek menaik taraf balai raya bermula pada 17 Okt 2025 serta siap sepenuhnya pada 26 Dis 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata Kuala Pilah secara keseluruhannya telah dipilih merentasi pelbagai agensi kerajaan dengan menerima 12 projek Kampung Angkat MADANI sejak 2024, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan prasarana luar bandar.

Sementara itu, Fahmi mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan paparan media sosial, terutamanya taktik love scam yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau penapis (filter) wajah bagi meraih keyakinan dan memikat hati mangsa sebelum mengeksploitasi mereka secara kewangan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa individu yang menjadi mangsa jenayah penipuan kewangan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas transaksi dilakukan.

Tindakan pantas itu penting bagi membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank komersial mengambil langkah yang perlu untuk menyekat pengaliran keluar wang berkenaan sebelum dilarikan sindiket penipuan.

-- BERNAMA