IPOH, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan tiga lelaki dan menyita 43,000 liter minyak diesel nelayan dalam serbuan di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, dekat Teluk Intan, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 5 pagi menerusi Ops Tiris 4.0 itu turut menyita sebuah bot nelayan Kelas C, sebuah lori tangki, dua tangki skid, hos dan peralatan pemindahan minyak, sebuah pam elektrik hidraulik serta beberapa dokumen berkaitan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,525,190 dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata tiga lelaki berumur antara 33 hingga 42 tahun yang ditahan terdiri daripada pemandu lori, kelindan dan pemilik jeti berkenaan.
“Siasatan awal mendapati minyak diesel nelayan yang dibeli pada harga RM1.65 seliter dipercayai dijual semula di pasaran gelap pada harga hampir RM4 seliter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata risikan mendapati sebuah lori tangki memasuki jeti berkenaan untuk mengambil minyak diesel yang disimpan di dalam dua tangki skid.
Beliau berkata kedua-dua tangki itu dipercayai menyimpan minyak diesel nelayan yang disedut dan dipindahkan tanpa kebenaran daripada sebuah bot nelayan Kelas C milik pemilik jeti berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, selain disyaki mempunyai unsur penyelewengan minyak diesel nelayan bersubsidi,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan, katanya, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala badan korporat boleh dikenakan denda hingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan hingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
-- BERNAMA