Am 20/09/2026 03:03 PM

Nahas Helikopter: Keluarga Mendiang Debra Moset Terima Bantuan YKN, JKM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nahas Helikopter: Keluarga Mendiang Debra Moset Terima Bantuan YKN, JKM
kredit: FB Hajah Nancy Haji Shukri

KUCHING, 20 Sept (Bernama) -- Keluarga mendiang Debra Moset yang terkorban dalam nahas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, hari ini menerima bantuan tunai menerusi Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA YKN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif tersebut disalurkan bagi menyokong keluarga mangsa dalam menghadapi waktu yang sukar ini.

"Bantuan PEKA YKN ini merupakan antara bentuk sokongan awal kepada keluarga mangsa. Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian kita amat penting agar keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian.

"Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Sumbangan ini tidak mampu menggantikan nyawa yang telah pergi, namun saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah meluangkan masa menziarahi keluarga mendiang di Kampung Semadang, Padawan bagi menyampaikan bantuan tunai berkenaan bernilai RM3,000.

Kenyataan itu turut memaklumkan, ibu mendiang, Renog Rasas menerima bantuan tunai Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 dan disyorkan untuk menerima Bantuan Warga Emas (BWE) berjumlah RM600 sebulan bermula Oktober ini.

Di bawah inisiatif JKM negeri pula, permohonan ibu mangsa untuk mendapatkan pas Kenyalang Gold Card serta kemudahan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) sedang dalam proses kelulusan.

Mendiang Debra merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam insiden nahas helikopter di Long Lellang pada 8 Sept lepas ketika dalam perjalanan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman.

-- BERNAMA