KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kayuhan anak Malaysia Tsen Ren Bao dalam pasukan Benua dari Australia, St George Continental Cycling Team, sekali lagi akan menarik tumpuan peminat berbasikal bagi Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26).
Menurut kenyataan Sekretariat LTdL26, kelibat Ren Bao yang akan membuat kemunculan buat kali ketiga bakal menjadi ukuran sejauh mana perkembangan dan kemajuan pelumba berusia 23 tahun itu.
Pada penampilan pertamanya ketika mewakili skuad kebangsaan di LTdL24, Ren Bao menduduki tangga ke-56 keseluruhan, namun prestasinya meningkat selepas menyertai St George tahun lepas, dengan memperbaik kedudukan ke tangga ke-34, malah muncul pelumba terbaik Malaysia dalam LTdL25.
Selain Ren Bao, St George turut menyenaraikan Rohan Haydon Smith, Liam Cuthbertson, Jack Lightfoot, Lindon Milostic dan Daniel Whitehouse.
“Pelumba Britain, Whitehouse, 31, seorang pendaki berkebolehan yang turut berpengalaman berkayuh di LTdL25, muncul pelumba terbaik pasukan itu apabila berada di tangga ke-17 keseluruhan.
“Whitehouse yang pernah mewakili pasukan tempatan TSG pada musim 2016-2017, dianggap pelumba serba boleh yang juga mampu membuat kejutan pada peringkat pendakian, terutama dengan prestasi baiknya berada di tangga ketiga keseluruhan pada Tour of Thailand, tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.
Edisi ke-30 LTdL akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam–Kampar pada 27 Sept ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar–Putrajaya pada 4 Okt, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara dengan sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
-- BERNAMA