KOTA TINGGI, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia akan berpandukan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya terdapat cadangan untuk menghantar Pasukan Pengaman Malaysia Batalion (MALBATT) ke Yemen susulan konflik yang berlaku di negara itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata Malaysia tidak akan membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya sebarang tindakan perlu berdasarkan keputusan PBB.
“Malaysia punya keputusan, kita berpandukan keputusan yang akan dibuat oleh pihak PBB, bukannya kita lakukan secara tersendiri.
“Jadi, PBB atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang buat keputusan sama ada nak hantar pasukan pengaman atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata pasukan pengaman lazimnya dihantar apabila pihak yang berkonflik telah bersetuju untuk membawa perdamaian, dengan pasukan berkenaan bertujuan memastikan syarat-syarat perdamaian dipatuhi semua pihak.
Beliau mengambil contoh penugasan pasukan pengaman di Lubnan yang bertujuan memastikan syarat-syarat perdamaian dihormati.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Yemen ketika ini berbeza kerana konflik serta peperangan masih berlaku, dan sekiranya pasukan pengaman dihantar ketika ini, keadaan itu boleh mendedahkan anggota kepada risiko kehilangan nyawa.
“PBB tidak pernah hantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam perang. Sekarang tengah konflik, tengah perang … kalau masuk tengah-tengah (semasa peperangan), akan ada korban jiwa dan raga,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata tidak timbul soal Malaysia menghantar pasukan secara bersendirian ke Yemen dan sebarang keputusan perlu menunggu ketetapan PBB.
Perkembangan itu susulan situasi di Yemen yang kembali bergolak teruk apabila pertempuran sengit di pantai barat dan Selat Bab al-Mandab memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, baru-baru ini.
-- BERNAMA