Am 20/09/2026 01:41 PM

KEMAS Sabah Perluas Tabika Smart Classroom, Tabika Tunas Istimewa Tahun Depan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KEMAS Sabah Perluas Tabika Smart Classroom, Tabika Tunas Istimewa Tahun Depan
Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi - Gambar fail

KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah akan memperluas pelaksanaan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Smart Classroom serta Tabika Tunas Istimewa khusus untuk kanak-kanak autistik ke setiap daerah mulai tahun hadapan. 

Pengarahnya Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata usaha itu, antara lain untuk memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini supaya kekal relevan dengan perubahan semasa, khususnya dalam memenuhi keperluan generasi Alpha dan kanak-kanak autistik.

Beliau berkata Tabika Smart Classroom dilaksanakan bertujuan menyesuaikan pendidikan prasekolah dengan perkembangan generasi Alpha, yang sejak kecil sudah terdedah kepada persekitaran teknologi menerusi penyediaan gajet bersesuaian, termasuk tablet dan smart TV.

“Kita tahu generasi Alpha ini terbuka kepada teknologi kerana mereka lahir dalam kepesatan dunia gajet. Kita mahu mereka bukan hanya menjadi pengguna gajet, tetapi dapat memanfaatkan kelebihan dan keupayaan yang ditawarkan teknologi itu,” katanya kepada Bernama.

Untuk tahun ini, Tabika Smart Classroom di Sabah dilaksanakan secara rintis dengan menempatkan satu kelas pintar bagi setiap daerah sebelum diperluas ke seluruh negeri tahun depan.

Mengulas mengenai Tabika Tunas Istimewa, Ahmad Fakhrul Azman berkata program itu memberikan fokus kepada kanak-kanak dalam spektrum autisme ringan yang dimulakan secara rintis di sebuah tabika di Papar.

Program Tabika Tunas Istimewa itu juga akan diperluas ke setiap daerah tahun depan, dengan 20 lagi tabika dirancang diwujudkan.

Peluasan program itu, katanya bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anak autistik mendapatkan pendidikan dan sokongan bersesuaian berikutan kos rawatan serta terapi berkaitan adalah sangat mahal.

“(Sebagai contoh), untuk membantu kanak-kanak (autistik) ini bertutur, kos khidmat terapi pertuturan sahaja boleh mencecah RM100 bagi satu jam, begitu juga dengan rawatan dan terapi yang lain. Kita akan melihat maklum balas secara berperingkat kerana program ini masih dalam kategori rintis,” katanya.

Ahmad Fakhrul Azman berkata sekiranya program Tabika Tunas Istimewa berjaya dan mendapat sambutan daripada ibu bapa serta masyarakat, KEMAS Sabah akan melihat hala tuju seterusnya bagi pelaksanaan tabika khusus untuk anak-anak autistik di negeri ini pada masa akan datang.

-- BERNAMA