KUANTAN, 19 Sept (Bernama) -- Seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun dipukul lima pelajar di asrama sebuah sekolah agama di Bukit Ibam, Rompin, sehingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Siti Rohani Yusof, 40, berkata kejadian pertama berlaku kira-kira 12 tengah malam, 12 Sept lepas apabila anak sulungnya itu bersama seorang lagi pelajar tingkatan dua dipanggil ke bilik asrama sebelum didakwa dipukul secara beramai-ramai.
Beliau berkata kedua-dua mangsa ditutup kepala ketika dipukul dan anaknya didakwa dipukul selama kira-kira dua jam, manakala rakannya kira-kira dua jam setengah.
“Anak saya tidak berani memberitahu sesiapa selepas kejadian tersebut kerana takut dipukul lagi. Hanya pada Selasa, dia memberitahu warden dan guru mengenai apa yang berlaku. Dia juga merayu untuk tidur di rumah warden kerana takut kejadian itu berulang, tetapi tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata pada 15 Sept, anaknya sekali lagi didakwa dipukul pelajar sama menggunakan batang penyapu, dengan seorang memegang batang tersebut manakala seorang lagi menendangnya.
Siti Rohani berkata anaknya kemudian menghubungi bapanya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada warden sebelum beliau sendiri hadir ke sekolah keesokan harinya.
Wanita itu berkata antara perbuatan oleh pelajar senior terbabit termasuk menendang, mencubit, menampar dan menumbuk mangsa, selain menggunakan batang penyapu.
Beliau berkata anaknya kemudian dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk pemeriksaan kesihatan termasuk X-ray selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Muadzam Shah.
“Saya meminta polis menyiasat pengurusan asrama termasuk tindakan pihak sekolah dan warden berhubung kejadian berkenaan.
“Saya mahu perkara ini disiasat secara telus dan pihak berwajib mengambil inisiatif supaya kejadian seperti ini tidak berulang, selain memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar di asrama terjamin,” katanya.
Beliau turut mendakwa selepas perkara itu dikongsi dalam kumpulan ibu bapa Aspura sekolah berkenaan, lebih ramai pelajar tampil menceritakan pengalaman mereka dan difahamkan kira-kira 16 pelajar pernah menjadi mangsa seperti kejadian tersebut.
Selain itu, Siti Rohani mengambil keputusan untuk memindahkan anaknya dari sekolah agama berkenaan ke sekolah lain kerana bimbang akan keselamatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes pergaduhan membabitkan dua pelajar tingkatan dua di asrama lelaki sebuah sekolah agama di Bukit Ibam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 12.01 tengah malam, 12 Sept selepas kedua-dua mangsa dipanggil ke bilik asrama oleh lima pelajar lelaki terdiri daripada tiga pelajar tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan empat.
“Punca kejadian adalah mangsa pertama didakwa ponteng kuliah agama manakala mangsa kedua bersubahat dengan mangsa pertama. Kedua-dua mangsa telah dipukul oleh kesemua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata mangsa pertama mengalami kecederaan pada kedua-dua lengannya manakala mangsa kedua mengalami kecederaan pada badan.
Beliau berkata kesemua lima suspek telah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selain kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
– BERNAMA