Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 19 Sept (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyambut baik tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran hutan di negara itu, termasuk menerusi sokongan aset dan kepakaran.
Beliau berkata tawaran berkenaan melibatkan sebuah pesawat, tiga helikopter serta pasukan pemadam kebakaran.
Prabowo berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman Presiden di Hambalang, Bogor, pada Jumaat.
“Ini merupakan isu alam sekitar yang memberi kesan kepada banyak pihak. Walaupun kebakaran berlaku di Indonesia, kesannya turut dirasai negara jiran. Mereka mahu membantu kita dan kita menyambut baik bantuan itu,” kata beliau.
Kenyataan itu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial Sekretariat Presiden Indonesia dan turut dikongsi Ahmad Zahid menerusi media sosialnya pada Sabtu.
Prabowo berkata Indonesia turut menerima tawaran bantuan daripada beberapa negara lain termasuk Jepun dalam usaha memadam kebakaran hutan yang berpanjangan, khususnya di Kalimantan.
Indonesia juga sedang merangka langkah pencegahan secara menyeluruh bagi memastikan keadaan sama tidak terus berulang setiap beberapa tahun, katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang kini dalam rangka lawatan empat hari ke Jakarta turut menyampaikan tawaran bantuan itu kepada Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka pada Rabu.
Tawaran Malaysia melibatkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, Prabowo turut menekankan kepentingan hubungan Malaysia-Indonesia untuk terus dipelihara dan diperkukuh.
Beliau berkata pertemuan itu turut membincangkan beberapa perkara lain termasuk kerjasama dalam industri halal.
-- BERNAMA