SINGAPURA, 19 Sept (Bernama) -- Singapura dan Kanada menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh hubungan ASEAN-Kanada, termasuk menerusi kerjasama lebih erat semasa Kepengerusian ASEAN oleh Singapura pada 2027.
Tahun berkenaan turut menandakan ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Kanada.
Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan komitmen itu dinyatakan oleh Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan Menteri Luar Kanada semasa lawatan rasmi beliau ke Ottawa dari 17 hingga 18 Sept.
Kedua-dua menteri turut menegaskan komitmen untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dalam tempoh yang sewajarnya.
“Mereka turut mengambil maklum perbincangan yang sedang berlangsung mengenai pelaksanaan program pembangunan kapasiti bersama di bawah Program Kerjasama Singapura (SCP) bagi memajukan kerjasama pembangunan di rantau ASEAN,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA