SIBU, 19 Sept (Bernama) -- Cadangan penubuhan Zon Ekonomi Sibu yang disokong oleh peruntukan awal sebanyak RM1.5 bilion bakal menjadi platform utama bagi menyelaraskan transformasi ekonomi bandar itu serta menarik pelaburan baharu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri pada prinsipnya telah bersetuju penubuhan SEZ tersebut, dengan penekanan kepada pelaburan, sektor perkhidmatan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata pembangunan Sibu juga akan disokong oleh jaringan perhubungan dan kapasiti perindustrian yang lebih kukuh, termasuk cadangan pembinaan Jambatan Tebing Barat dan Taman Perindustrian Sibu, yang dijadualkan siap pada 2029.
“Cadangan pembangunan semula Bukit Assek, yang secara prinsip telah mendapat kelulusan merupakan satu lagi inisiatif jangka panjang penting bertujuan membawa Sibu ke arah pembangunan ekonomi lebih mampan dan bernilai tinggi,” katanya.
Dr Sim berkata demikian dalam ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) di sini hari ini.
Beliau berkata Sarawak sedang memasuki fasa penting dalam transformasi ekonominya, yang memerlukan negeri itu bergerak melangkaui industri tradisional dan membangunkan sektor baharu, di samping memperkukuh keupayaan dalam aspek pengetahuan dan teknikal.
Antara bidang yang dikenal pasti berpotensi untuk pertumbuhan pada masa hadapan ialah tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau, semikonduktor, penjagaan kesihatan, pendigitalan serta industri berkaitan teknologi.
Dr Sim turut menyeru sektor swasta agar memainkan peranan lebih besar dalam menterjemahkan dasar kerajaan, infrastruktur dan platform pembangunan kepada pelaburan sebenar, aktiviti perniagaan serta peluang pekerjaan.
Beliau berkata kerajaan akan terus menyediakan hala tuju dasar, infrastruktur dan platform untuk pertumbuhan, manakala pihak perniagaan perlu bersedia untuk melabur, melakukan inovasi dan merebut peluang baharu.
-- BERNAMA