Am 19/09/2026 01:54 PM

Polis Buru Enam Warga Asing Samun Lelaki China, Mohon Notis Merah Interpol

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Buru Enam Warga Asing Samun Lelaki China, Mohon Notis Merah Interpol
Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Polis sedang memburu enam lelaki warga asing yang didakwa terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah kediaman di Pavilion Embassy, di sini pada 7 Sept lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata polis akan memohon Notis Merah Interpol bagi menjejaki dan menahan kesemua suspek berkenaan.

Beliau berkata keenam-enam lelaki itu telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini semalam, tanpa kehadiran mereka di mahkamah (in absentia).

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan susulan arahan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Semasa prosiding berlangsung semalam, Timbalan Pendakwa Raya telah memohon waran tangkap terhadap kesemua tertuduh.

"Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Okt depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan permohonan waran tangkap berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata pada 7 Sept lepas, pihak polis menerima laporan daripada mangsa, iaitu seorang lelaki warga China berusia 28 tahun yang disamun di kediamannya pada 5.31 petang.

Beliau berkata siasatan kes itu dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat ASP Nor Azfandy Azemi dan kertas siasatan yang dilengkapkan telah dirujuk kepada Pejabat PPN pada 17 Sept lepas.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pergerakan atau lokasi suspek supaya segera menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA