KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) komited untuk terus kekal relevan dan memberikan impak nyata kepada pembangunan negara serta masyarakat melalui pemerkasaan bidang akademik, penyelidikan dan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata sambutan 121 tahun penubuhan universiti itu hari ini bukan sekadar meraikan usia, sebaliknya menjadi tanggungjawab besar dalam memastikan Institusi Pengajian Tinggi tertua negara itu terus membimbing pembangunan negara ke arah yang lebih baik.
"Hari ini satu detik yang cukup bermakna untuk seluruh warga UM dan juga alumni, bukan sahaja alumni akan tetapi rakyat Malaysia.
"121 tahun ini membawa satu tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan UM terus relevan kepada negara, menasihati negara supaya menjadi lebih baik dan seterusnya memberi impak yang paling penting dan nyata kepada masyarakat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun UM ke-121 di sini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Canselor UM berkenan merasmikan majlis berkenaan. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mengulas mengenai pemodenan dan penyesuaian kurikulum akademik universiti, Noor Azuan menjelaskan bahawa UM sentiasa selari dengan pembangunan global, termasuk memperkasakan pembelajaran serta sistem pengurusan berasaskan teknologi AI.
"Kita banyak menjurus kepada AI, sama ada menerusi program mahupun sistem di UM yang sentiasa bergerak seiring dengan pembangunan AI," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penarafan (ranking) universiti pada peringkat antarabangsa sebagai penanda aras persepsi masyarakat dunia terhadap kualiti pendidikan dan penyelidikan UM.
"Jadi kalau kita lihat ranking UM sekarang ialah 56 (QS World University Ranking) dan kita sedang berusaha untuk memastikan penarafan itu terus melonjak kepada tahap lebih baik pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.
Noor Azuan berkata UM akan terus menjadi wadah utama dalam melahirkan modal insan serta pemimpin berkualiti tinggi demi kesinambungan kecemerlangan negara, sambil merujuk kepada kejayaan universiti itu melahirkan enam daripada 10 Perdana Menteri Malaysia.
"UM bukan sahaja milik warga kampus sahaja akan tetapi ia milik rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA