Am 19/09/2026 02:35 PM

AKPS Perkukuh Kesiapsiagaan Keselamatan Menjelang Pengoperasian RTS Link

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AKPS Perkukuh Kesiapsiagaan Keselamatan Menjelang Pengoperasian RTS Link
Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

JOHOR BAHRU, 19 Sept (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang memperkukuh kesiapsiagaan aspek keselamatan dan pemeriksaan sempadan menjelang pengoperasian Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada Januari tahun depan.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata persediaan itu merangkumi penggunaan teknologi, latihan anggota serta simulasi operasi bagi memastikan pemeriksaan dokumen dan barangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata teknologi memainkan peranan penting dalam membantu penguatkuasaan, namun tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian tunggal dalam menangani ancaman keselamatan di pintu masuk negara.

“Teknologi membantu tetapi ia bukanlah penyelesaian kepada ancaman tersebut. Kombinasi kedua-duanya adalah penting dan bagaimana kita menggunakan teknologi dalam menguatkuasakan juga penting, termasuk latihan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Shuhaily berkata AKPS turut akan memberi nasihat kepada pengendali mengenai teknologi yang bersesuaian untuk diperoleh bagi membantu mengurangkan risiko keselamatan.

Mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu mengekang isu penyeludupan bahan terlarang, beliau berkata teknologi berkenaan juga memerlukan proses pembelajaran sebelum mencapai tahap kematangan, termasuk menerusi pembelajaran mesin atau machine learning.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata sebanyak 400 pelatih AKPS kini menjalani latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Polis Segamat sebagai persediaan untuk ditempatkan di RTS Link.

Beliau berkata kumpulan berkenaan dijangka menamatkan latihan pada hujung September sebelum mula ditempatkan di RTS Link pada Oktober.

“Dua bulan yang ada itu kita akan buat dry run supaya apabila tiba Januari nanti, semua sudah bersiap sedia untuk mengendalikan kemudahan terbaharu ini,” katanya.

Beliau berkata pada peringkat awal, anggota berkenaan akan menimba pengalaman daripada pegawai kanan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), khususnya dalam aspek pemeriksaan dokumen dan barangan.

-- BERNAMA