KUCHING, 19 Sept (Bernama) -- Peruntukan bagi merancakkan pelaksanaan program kesuburan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjadi antara fokus utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu penting bagi menangani isu penurunan kadar kelahiran penduduk di negara ini, khususnya di negeri seperti Sarawak dan Pulau Pinang yang memerlukan perhatian khusus.
“Sebenarnya, kita sudah pun melaksanakan langkah itu (menerusi LPPKN) cuma kita nak beri tumpuan untuk tahun depan supaya kita dapat menggalakkan lebih ramai lagi terutamanya dalam kalangan orang muda.
“Ada yang mengatakan bukan masalah kesuburan sahaja tetapi masalah ekonomi, namun masalah ekonomi itu akan diambil kira oleh kerajaan melalui kementerian-kementerian yang lain. Bagi kami (KPWKM), lebih kepada program yang boleh menggalakkan mereka untuk melahirkan anak sebab kita perlu tingkatkan di negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program PERANTIS-PENDAYA 2.0: Memperkasakan Usahawan Wanita Dayak untuk Kepimpinan, Skala dan Kelestarian di sini hari ini.
Ditanya mengenai kajian kadar kesuburan negara, Nancy berkata perincian serta dapatan kajian berkenaan akan dibentangkan secara khusus sewaktu majlis pembukaan bangunan baharu LPPKN di Kuching kelak.
Mengenai program PERANTIS, beliau memaklumkan seramai 400 peserta menyertai program berkenaan di Sarawak tahun ini, dengan 11 daripadanya dipilih sebagai perantis untuk dibimbing secara langsung.
Program kerjasama antara kementerian dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Persatuan Rangkaian Pemberdayaan Wanita dan Kelestarian (WESNA) Kuching itu bertujuan memperkasakan usahawan wanita Dayak menerusi penyediaan Pelan Tindakan 90 Hari serta pemantapan strategi perniagaan moden.
-- BERNAMA