Am 17/09/2026 10:39 PM

LUAS, MetMalaysia Meterai MoU Sokong Pengurusan Sumber Air Selangor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LUAS, MetMalaysia Meterai MoU Sokong Pengurusan Sumber Air Selangor

SHAH ALAM, 17 Sept (Bernama) -- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang memberi tumpuan kepada penyediaan maklumat bagi menyokong keperluan operasi termasuk pengurusan sumber air negeri itu.

LUAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan skop utama kerjasama tersebut melibatkan penyaluran data stesen telemetri hujan daripada LUAS dan MetMalaysia ke dalam portal Integrated Water Resources Information Management System (IWRIMS).

Selain itu, data ramalan cuaca berasaskan Numerical Weather Prediction (NWP) serta data radar, termasuk Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) dan Malaysia Rainfall Estimation (MyRAE), akan disalurkan kepada LUAS Intelligent Support System (LiSS).

“Pelaksanaan kerjasama ini membolehkan maklumat hujan, cuaca dan radar daripada kedua-dua agensi digunakan secara bersepadu dalam pemantauan serta simulasi pemodelan.

“Data tersebut meliputi rekod daripada stesen telemetri di Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Klang, termasuk stesen telemetri hujan LUAS serta stesen meteorologi MetMalaysia,” menurut kenyataan itu.

LUAS memaklumkan penyelarasan maklumat melalui IWRIMS dan LiSS akan meningkatkan keupayaan operasi serta menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan keadaan semasa.

“Melalui pelaksanaan MoU ini, LUAS dapat menambah baik tindakan pengawalseliaan dan pengurusan, termasuk pengoptimuman penggunaan sumber air daripada sungai dan kolam.

“Usaha ini turut menyokong pemeliharaan kualiti dan kuantiti sumber air negeri pada tahap optimum di samping memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena El Nino,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan, dengan tersedianya maklumat meteorologi dan hidrologi yang lebih menyeluruh, tindakan pemantauan, perancangan dan pengurusan sumber air dapat dilaksanakan secara cekap, responsif dan bersepadu.

Sementara itu, LUAS menerusi hantaran di Facebook rasmi memaklumkan majlis pertukaran MoU itu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS Haslina Amer, manakala MetMalaysia diwakili Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Ia disaksikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

-- BERNAMA