KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) --Kuching City FC memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027 dengan langkah kiri apabila tewas 1-2 kepada kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC dalam aksi Kumpulan H di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Kemboja, hari ini.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama dengan tiada jaringan dihasilkan.
Bagaimanapun, tuan rumah memecah kebuntuan pada minit ke-55 menerusi Moses Dyer sebelum anak buah Aidil Sharin Sahak menyamakan kedudukan pada minit ke-73 melalui Adjin Mujagic.
Ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Dyer muncul wira Phnom Penh Crown apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan pasukannya meraih kemenangan 2-1.
Kuching City akan meneruskan saingan Kumpulan H dengan menentang kelab Hong Kong, Kitchee SC pada 15 Okt ini di Stadium Larkin, Johor Bahru.
Satu lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan ialah Gangwon FC dari Korea Selatan.
-- BERNAMA