Am 18/09/2026 12:22 AM

Landasan KKIA Dibuka Semula Pada 11.30 Malam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Landasan KKIA Dibuka Semula Pada 11.30 Malam
Kredit: FB Malaysia Airports

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dibuka semula pada 11.30 malam ini selepas pemeriksaan keselamatan terakhir selesai dijalankan.

Dalam satu kemas kini di laman Facebook rasminya hari ini, Malaysia Airports memaklumkan operasi penerbangan di KKIA kini boleh disambung kembali susulan pembukaan semula landasan.

Malaysia Airports turut menasihatkan penumpang terlibat supaya menyemak status serta maklumat terkini penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Landasan tersebut telah ditutup sementara sejak 2.45 petang tadi bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan, sekali gus menjejaskan sekurang-kurangnya 20 penerbangan yang melibatkan ketibaan dan pelepasan di KKIA.

Tinjauan Bernama di lapangan terbang itu mendapati beberapa penerbangan mengalami kelewatan atau dibatalkan, manakala sejumlah penerbangan yang sepatutnya tiba telah dilencongkan ke Labuan dan Sandakan.

Gangguan tersebut menyebabkan sebahagian penumpang terpaksa menunggu selama beberapa jam untuk mendapatkan perkembangan terkini, dengan ramai yang berulang kali menyemak paparan maklumat penerbangan serta pemberitahuan syarikat penerbangan bagi mengetahui waktu berlepas dan ketibaan yang telah dipinda.

-- BERNAMA