Am 18/09/2026 12:14 AM

22 Koperasi Perak Terima Geran RM1.134 Juta Tahun Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
22 Koperasi Perak Terima Geran RM1.134 Juta Tahun Ini
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Sebanyak 22 koperasi di Perak menerima geran berjumlah RM1.134 juta tahun ini bagi membantu memperkukuh dan mengembangkan aktiviti perniagaan, selain meneroka pasaran baharu demi manfaat lebih besar kepada anggota.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bantuan itu perlu dilihat sebagai pemangkin untuk koperasi bergerak lebih jauh, dengan pengurusan perlu mengenal pasti pasaran sasaran, mengawal kos, membina jaringan rakan niaga serta memperkukuh kekuatan perniagaan bagi jangka panjang.

“Kerajaan negeri turut memberikan sokongan ke arah itu. Dalam Belanjawan Negeri Perak 2026, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi pembangunan usahawan dan koperasi, meningkat RM100,000 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 (MAGK’26), di sini malam ini.

Saarani berkata kerajaan negeri turut menyediakan Geran Koperasi Perak (GKOP) berjumlah RM350,000 bagi 2026 bagi membantu koperasi memperkukuh dan mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak Halizah Sipun.

Beliau berkata sehingga 31 Dis 2025, Perak mempunyai 1,755 koperasi dengan lebih 355,000 anggota, manakala jumlah keseluruhan syer dan yuran mencecah kira-kira RM553 juta, dengan aset gerakan koperasi negeri berjumlah RM1.62 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, SKM Cawangan Negeri Perak memaklumkan bahawa 11 koperasi negeri itu berjaya disenaraikan dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Tahun 2026 peringkat kebangsaan.

Pada majlis berkenaan, Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Perak Tahun 2026, manakala Anugerah Koperasi Harapan, Koperasi IPT Terbaik dan Koperasi Sekolah Terbaik masing-masing dimenangi Koperasi Bukit Gantang Berhad, Koperasi Politeknik Ungku Omar Ipoh Berhad dan Koperasi MRSM Bagan Datuk Berhad.

-- BERNAMA