KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pengendali interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengekalkan lima pemain daripada skuad yang beraksi pada Piala ASEAN sebelum ini, bagi mengharungi Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta dan Bandung, Indonesia, dari 25 Sept hingga 5 Okt.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lima pemain berkenaan ialah Azri Ghani, Ubaidullah Shamsul Fazili, Sergio Aguero, G. Pavithran dan Faris Danish Asrul yang dipanggil ke kem latihan pusat yang akan bermula pada Isnin.
Menurut kenyataan itu beberapa tonggak utama skuad Harimau Malaya, turut dipanggil bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
“Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta pada Selasa, 22 Sept 2026 bagi menghadapi saingan Divisyen 1, Piala ASEAN FIFA 2026 yang mana Kumpulan A dibarisi tuan rumah Indonesia, Singapura, Bangladesh dan Malaysia, manakala Kumpulan B menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod Malaysia yang kini pada kedudukan ke-136 dunia, akan membuka saingan berdepan pasukan berkedudukan ke-181 dunia, Bangladesh di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Sept.
Ia disusuli perlawanan kedua menentang tuan rumah, Indonesia yang kini menghuni kedudukan ke-118 dunia, juga di Gelora Bung Karno pada Isnin, 28 Sept sebelum menutup saingan peringkat kumpulan A, menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt.
Berdasarkan format kejohanan Juara Kumpulan A dan juara Kumpulan B bakal berentap pada aksi final di Gelora Bung Karno pada 5 Okt pada sebelah malam, manakala naib juara Kumpulan A dan Naib Juara Kumpulan B akan bertemu untuk penentuan tempat ketiga di venue dan hari yang sama, pada sebelah petang.
Berikut merupakan senarai 23 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya:
Penjaga Gol
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim)
Haziq Nadzli (Kuching City)
Azri Ghani (Negeri Sembilan)
Pertahanan
Dion Cools (Cerezo Osaka)
Daniel Ting (Ratchaburi)
Brad Tapp (Johor Darul Ta’zim)
La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim)
Syahmi Safari (Johor Darul Ta’zim)
Faris Danish Asrul (Johor Darul Ta’zim II)
Quentin Cheng (Selangor)
Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu)
Tengah
Stuart Wilkin (Johor Darul Ta’zim)
Nathaniel Shio Hong Wan (Johor Darul Ta’zim)
Manuel Hidalgo (Johor Darul Ta’zim)
Nooa Laine (Selangor)
Nazmi Faiz Mansor (Kuching City)
Sergio Aguero (PSM Makassar)
Penyerang
Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim)
Bergson da Silva (Johor Darul Ta’zim)
Faisal Halim (Selangor)
Romel Morales (Terengganu)
Pavithran Gunalan (Terengganu)
Fergus Tierney (PAC Omonia 29M)
-- BERNAMA