KOTA BHARU, 17 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan merampas 1,000 anak pokok pelbagai jenis dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang di Pasir Mas, semalam.
Dalam serbuan pada 5.45 petang itu, anggota risik Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, turut menyita sebuah lori motolori jenis Hino bernilai kira-kira RM100,000.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki berusia 32 tahun itu, ditahan selepas memandu lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan, sebelum pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah anak pokok di bahagian muatan belakang kenderaan.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barang menyalahi undang-undang, namun lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber dan pemerolehan anak pokok terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 400 pokok buluh, 200 pokok mata kucing, 200 pokok rhu dan 200 pokok bunga kemboja. Suspek serta barang kes kemudian dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti, Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata kesemua anak pokok terbabit yang dianggarkan bernilai RM34,000, bersama lori bernilai RM100,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM134,000.
Beliau berkata suspek dan barang kes kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat pengangkutan di Gunung, Bachok menerima upah RM300 bagi setiap penghantaran anak pokok ke sebuah nurseri di Kuala Lumpur.
“Rampasan dibuat selepas suspek gagal mengemukakan bukti munasabah berhubung sumber dan pemerolehan pokok tersebut yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa melalui pemeriksaan serta kawalan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata kemasukan tumbuhan tanpa pemeriksaan dan kawalan boleh membawa tanah, serangga perosak atau organisma asing yang berpotensi menjejaskan biosekuriti serta keselamatan tanaman di negara ini.
Beliau berkata risikan dan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti rangkaian serta modus operandi kegiatan berkenaan, selain mengekang aktiviti penyeludupan dan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA