PETALING JAYA, 17 Sept (Bernama) -- Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar akan terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara menerusi peranannya bersama FAS dan Selangor FC.
Walaupun tidak dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 hari ini, Shahril berkata beliau menerimanya dengan hati terbuka dan tidak akan mencabar keputusan tersebut.
Shahril berkata beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan dan memilih untuk terus memberi tumpuan kepada peranannya dalam arena bola sepak tempatan.
“Tidak (akan mencabar keputusan kongres). Demi semangat bola sepak, saya tidak akan buat. Harapan saya supaya buat kerja betul-betul, naikkan martabat bola sepak negara, buat secara tulus dan kesilapan lama jangan diulang.
“Jiwa saya jiwa bola sepak, saya tidak ke mana. Saya masih di FAS dan juga Selangor FC. Kita tengok hari ini perwakilan sudah buat keputusan, jadi kita harus hormati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pemilihan sempena Kongres Luar Biasa (EGM) FAM Kedua 2026 itu di sini, hari ini.
Pada pemilihan itu, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan memperoleh 20 undi untuk menewaskan Shahril yang meraih lima undi bagi jawatan presiden.
Sebelum ini, Shahril merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran serta pengurus skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan sebelum melepaskan semua jawatan dalam FAM pada 2024.
Terdahulu, EGM hari ini menyaksikan kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dipertikaikan susulan surat bantahan yang dikemukakan FAS.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John yang bertindak sebagai Pengerusi Mesyuarat, menjelaskan EGM dan proses pemilihan boleh diteruskan, manakala rayuan boleh dikemukakan jika ada bantahan berhubung pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan itu.
Pemilihan hari ini diadakan bagi mengisi semula barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 selepas keseluruhan jawatankuasa sebelum ini meletakkan jawatan secara kolektif pada Januari lepas.
Keputusan berundur itu dibuat ketika FAM berdepan isu dokumen tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu dan pemain terbabit.
-- BERNAMA