KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengalu-alukan penyertaan Proton Holdings Bhd (Proton) sebagai rakan mobiliti rasmi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Menerusi kerjasama itu, Proton menyediakan 20 kenderaan bagi menyokong pengurusan logistik dan pergerakan delegasi antarabangsa sepanjang acara itu.
MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata penyerahan simbolik kenderaan itu diadakan di Menara MATRADE, dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Indera Abu Bakar Yusof dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ir. Abdul Rashid Musa.
Penyertaan Proton bukan sahaja menjamin kelancaran logistik dan pergerakan delegasi antarabangasa, malah memperlihatkan solidariti jenama-jenama kukuh tempatan dalam melonjakkan nama Malaysia di arena perdagangan antarabangsa, kata MATRADE.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata penyertaan Proton sebagai rakan mobiliti rasmi turut memberi peluang kepada delegasi luar negara merasai sendiri pengalaman menggunakan kenderaan keluaran syarikat tempatan.
“Kami berharap kolaborasi ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk memanfaatkan MIHAS sebagai medan memperluas jaringan dan keterlihatan di peringkat global,” katanya.
MIHAS 2026 memasuki edisi ke-22 bertemakan “Melakar Kepercayaan, Memacu Daya Tahan”.
Antara komponen utama MIHAS 2026 ialah segmen pameran merangkumi 14 kluster strategik, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Hab Pengetahuan, Anugerah MIHAS dan Women in Export (WiEX).
--BERNAMA