KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) keenam pada 18 Sept ini akan menjadi kemuncak lawatan kerja tiga hari Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Australia bagi menilai kemajuan kerjasama pertahanan serta menentukan hala tuju hubungan kedua-dua negara.
Dalam kenyataan hari ini, Mohamed Khaled berkata mesyuarat yang akan berlangsung di Geelong itu akan dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri Australia merangkap Menteri Pertahanan Richard Marles.
Beliau berkata HLC keenam itu menyusuli mesyuarat kelima yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2025, dengan pertemuan kali ini turut memberi tumpuan kepada penerokaan peluang baharu dalam kerjasama pertahanan Malaysia-Australia.
Lawatan kerja itu turut merangkumi pertemuan Mohamed Khaled dengan Australian Security Intelligence Organisation (ASIO) bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan dan cabaran keselamatan semasa yang menjadi kepentingan bersama.
Beliau kemudiannya dijadual mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan dua hala dengan Marles di Geelong, yang akan memberi tumpuan kepada perkembangan hubungan pertahanan dua hala serta bidang baharu yang boleh diterokai bersama.
Mohamed Khaled berkata hubungan dan kerjasama pertahanan Malaysia dan Australia telah lama terjalin, merentas zaman perang dan aman, serta terus berkembang menerusi kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
Beliau berkata teras kepada hubungan yang kukuh itu adalah kepercayaan dan keyakinan bersama yang telah dibina kedua-dua negara sejak sekian lama.
“Selain hubungan dua hala yang kukuh, Malaysia dan Australia turut bekerjasama menerusi platform seperti Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN+ (ADMM+) dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan serantau.
“Dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks, hubungan yang telah dibina sekian lama ini perlu terus diperkukuh dan dibawa ke tahap seterusnya, daripada kerjasama kepada kolaborasi yang lebih strategik, substantif dan berorientasikan hasil,” katanya.
Mohamed Khaled berkata lawatan kerja itu turut akan disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Datuk Mohd Yani Daud; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datin Paduka Sharrina Abdullah serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman, bersama pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.
-- BERNAMA