Am 16/09/2026 05:49 PM

ATM Tubuh Angkatan Siber Jadi Ketumbukan Keempat Menjelang 2030

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ATM Tubuh Angkatan Siber Jadi Ketumbukan Keempat Menjelang 2030
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman ketika temu bual khas sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-93 di Wisma Pertahanan. ATM memperkukuh kekuatan sebagai benteng pertahanan negara dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada aset dan keupayaan fizikal, malah pembangunan warga, tatakelola serta kesiapsiagaan tempur dalam menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks. Malek Razak berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi tiga nilai utama yang dirangkum dalam akronim ATM, iaitu Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal melakar sejarah dengan menubuhkan Angkatan Siber sebagai ketumbukan keempatnya menjelang 2030 bagi mendepani ancaman landskap keselamatan moden.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata langkah strategik itu diambil memandangkan ruang siber dan elektromagnetik kini menjadi medan persaingan serta pertempuran yang semakin mendominasi di peringkat global.

Beliau berkata satu pasukan khusus dikenali sebagai Tim Nukleus Angkatan Siber telah diwujudkan untuk menerajui aspek perancangan, penyelarasan, persediaan transformasi organisasi dan pembangunan keupayaan ke arah penubuhan rasmi angkatan tersebut.

Katanya, pelancaran tim nukleus itu dijadual disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena dengan sambutan Karnival Hari ATM 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 19 Sept ini.

"Kita melihat model daripada negara jiran dan asing yang telah pun menerapkan domain ini dalam ketumbukan mereka, jadi keperluan ini amat mendesak dan kita tidak boleh tertinggal.

"Pasukan nukleus ini akan merancang serta melihat bagaimana untuk merealisasikan Angkatan Siber ini menjadi kenyataan dan beroperasi sepenuhnya selari dengan garis panduan kementerian untuk direalisasikan menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersempena dengan sambutan Hari ATM ke-93, di sini.

Mengulas lanjut, Malek Razak berkata selari dengan hasrat tersebut, ATM juga melaksanakan pembangunan kepakaran dalam bidang Aktiviti Siber dan Elektromagnetik (CEMA) secara berterusan.

Beliau berkata keupayaan siber, peperangan elektronik dan operasi pengurusan spektrum itu telah pun diaplikasikan secara praktikal bagi menghasilkan kesan operasi yang nyata menerusi Eksesais Camar Kilat Siri 2/26.

"Komitmen ini turut diperkukuh menerusi aspek modal insan, dengan sebanyak 60 pegawai dan 17 anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengikuti kursus berkaitan CEMA hingga Julai lepas," katanya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata Kementerian Pertahanan kini dalam peringkat merangka usaha membangunkan Pasukan Siber sebagai perkhidmatan atau pasukan keempat bagi menangani ancaman peperangan moden dan kognitif.

Mohamed Khaled berkata langkah itu diambil memandangkan ancaman pada masa kini tidak lagi terhad kepada pertempuran fizikal secara tradisional semata-mata, sebaliknya mula beralih kepada penguasaan ruang siber dan persepsi masyarakat.

-- BERNAMA