BUKIT NERTAJAM, 16 Sept (Bernama) -- Sebanyak 100 warga emas, pelajar sekolah dan kanak-kanak pendidikan khas menerima sumbangan cermin mata percuma menerusi program anjuran Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.
Sumbangan cermin mata itu ditaja GF Eyewear dan disampaikan pada Majlis Sumbangan Cermin Mata Percuma di Dewan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merangkap Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Mertajam T. Yoganraj Thever mewakili Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Yoganraj berkata program kebajikan berkenaan mencerminkan komitmen wakil rakyat dan rakan strategik dalam membantu memastikan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.
Beliau berkata program itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima, malah memperkukuh semangat kerjasama antara pihak swasta, pertubuhan masyarakat dan wakil rakyat dalam usaha membina komuniti yang lebih sejahtera.
Sementara itu, Pengurus Besar GF Eyewear Ng Yi Cheah berkata pihaknya berbesar hati dapat menyalurkan sumbangan berkenaan kerana penglihatan yang jelas merupakan asas penting kepada pembelajaran dan kehidupan berkualiti.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam Siti Nor Nasuha Mohd Rodzuan berkata pihaknya akan terus melaksanakan program kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.
-- BERNAMA