KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Sarawak akan menjadi tuan rumah Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2029 yang melibatkan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak memperoleh hak penganjuran itu ketika lawatan beliau ke Taif, Arab Saudi baru-baru ini yang menyaksikan satu perjanjian dimeterai.
“Ia akan melibatkan 57 negara OIC, yang kesemuanya telah bersetuju untuk datang ke Sarawak pada 2029,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Selasa.
Abdul Karim berkata penganjuran temasya itu memerlukan persiapan yang rapi, memandangkan Sarawak juga akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA, termasuk upacara pembukaan, tahun depan.
Beliau berkata kemudahan sukan di Sarawak yang kini sedang dinaik taraf untuk Sukan SEA juga bertepatan bagi menampung penganjuran ISG yang melibatkan penyertaan lebih banyak negara.
Katanya, kos penganjuran masih belum dimuktamadkan tetapi jumlahnya dianggarkan antara RM400 juta hingga RM450 juta, berbanding kira-kira RM350 juta yang diperuntukkan bagi Sukan SEA.
-- BERNAMA