SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor mungkin menangguhkan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang dijadualkan dari 21 hingga 25 Sept ini jika keadaan jerebu semakin buruk di negeri berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya dan Jabatan Agama Islam Selangor akan memantau situasi semasa termasuk laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Kita tengok kepada situasi... kalau keadaan makin mendesak, kita akan semak... saya tidak boleh buat keputusan terus kerana kita kena tengok laporan Jabatan Meteorologi untuk melihat keadaan cuaca dan persekitaran," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Perdana Dato' Menteri Besar Selangor sempena Hari Malaysia 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) setakat 4 petang, Selangor mencatat enam kawasan pada tahap tidak sihat dengan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 188 diikuti Shah Alam (173), Klang (167), Petaling Jaya (166), Banting (164) dan Kuala Selangor (163).
Amirudin berkata kerajaan negeri mempunyai parameter bagi menentukan tindakan susulan berhubung jerebu termasuk penutupan sekolah apabila bacaan Indeks Pencemar Udara mencecah 200.
Beliau berkata kerajaan negeri sedang menguruskan pembelian pelitup muka untuk diagihkan secara percuma kepada pelajar sekolah di Selangor.
“Kita akan melihat seberapa cepat proses pembelian itu dan saya juga rasa tiba masa untuk menghentikan aktiviti luar demi kesihatan pelajar... dalam tempoh terdekat, saya akan panggil pihak berkaitan termasuk MetMalaysia untuk berbincang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya masih menunggu laporan audit atau semakan menyeluruh berhubung longkang berisiko di Selangor.
Beliau mengesahkan kes lemas membabitkan kanak-kanak pernah berlaku di Puncak Alam sebelum ini dan pihaknya telah meminta Majlis Perbandaran Kuala Selangor menghantar laporan serta mengambil tindakan untuk menutup longkang berkenaan.
Pada Mei lepas, Amirudin berkata kerajaan negeri akan melaksanakan semakan menyeluruh terhadap longkang-longkang berisiko di seluruh Selangor susulan dua kes kanak-kanak lemas sebelum ini.
-- BERNAMA