Dunia 15/09/2026 07:56 PM

MYFEST 2026 Eratkan Hubungan Malaysia Dan Poland Menerusi Budaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MYFEST 2026 Eratkan Hubungan Malaysia Dan Poland Menerusi Budaya
Kredit: MYPOL

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Sambutan menggalakkan pada Festival Budaya Malaysia 2026 (MYFEST 2026) di Warsaw baru-baru ini membuktikan bahawa budaya mampu menjadi titik pertemuan bagi merapatkan hubungan antara Malaysia dengan Poland.

Menurut kenyataan Malaysian Association in Poland (MYPOL), festival yang diadakan pada 12 Sept lepas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan tema ‘Taste, Culture, Tradition’ itu bertujuan memperkenalkan kepelbagaian makanan, budaya dan tradisi Malaysia.

Presiden MYPOL Muhammad Faiq Syahmi berkata sambutan terhadap program anjuran persatuan itu dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw dan Tourism Malaysia Frankfurt, yang dihadiri lebih 200 pengunjung, jauh mengatasi jangkaan.

“Melihat pengunjung daripada pelbagai latar belakang datang bersama-sama, mencuba makanan Malaysia, mempelajari tradisi kita dan mengenakan pakaian tradisional Malaysia amat bermakna kepada kami,” katanya.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Poland Datuk Azri Mat Yacob serta pegawai Kedutaan Besar.

Acara yang berlangsung termasuk persembahan silat, aktiviti mewarna batik, permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan ceper serta kuiz mengenai Malaysia.

Pengunjung turut disajikan dengan hidangan nasi lemak, rendang daging, sate ayam, roti canai dan teh tarik.

Sementara itu, Naib Presiden MYPOL Mohd Najmi Kamarudin menekankan peranan MYFEST yang ditubuhkan pada awal tahun ini dalam mengeratkan hubungan komuniti Malaysia di Poland, di samping memperkenalkan budaya, tradisi dan warisan negara melalui makanan, permainan tradisional, seni dan kraf.

“Walaupun berada jauh dari tanah air, semangat Malaysia tetap dekat di hati kami. Melalui MYFEST, kami berharap pengunjung dapat mengenali dan membawa pulang sedikit pengalaman mengenai apa yang menjadikan Malaysia begitu istimewa,” katanya.

-- BERNAMA