KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 bersedia dengan laluan alternatif bagi menghadapi kemungkinan perubahan cuaca, termasuk jerebu dan banjir, sepanjang lapan peringkat perlumbaan yang berlangsung dari 27 Sept hingga 4 Okt ini.
Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata pihak penganjur sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan, namun sebarang keputusan berkaitan perlumbaan akan dibuat berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Faktor di luar kawalan seperti jerebu, hujan dan banjir memerlukan pihak penganjur merujuk peraturan UCI bagi menentukan tindakan sewajarnya sekiranya keadaan menjadi tidak selamat untuk pelumba,” katanya pada sidang media LTdL 2026 di sini hari ini.
Emir berkata beberapa perlumbaan antarabangsa sebelum ini pernah dipendekkan, dilambatkan atau dihentikan sementara akibat keadaan cuaca, malah LTdL sendiri pernah berdepan situasi sama pada 2004 apabila perlumbaan di Negeri Sembilan dihentikan dan dineutralkan sementara susulan banjir.
Beliau berkata sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) akibat jerebu berada pada tahap terlalu tinggi dan membahayakan, pihak berkaitan boleh mengambil tindakan termasuk menghentikan, menangguhkan atau membatalkan sesuatu peringkat mengikut peraturan UCI.
“Kalau IPU untuk jerebu terlalu tinggi dan dalam keadaan bahaya, ada peraturan. Mungkin mereka hentikan perlumbaan, mungkin terpaksa batalkan ataupun dilewatkan. Itu yang kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata pembatalan keseluruhan LTdL bukan pilihan yang sepatutnya dipertimbangkan, namun penganjur perlu membuat keputusan tegas sekiranya keadaan jerebu pada sesuatu hari berada pada tahap berbahaya.
Beliau berkata faktor utama yang perlu diberi perhatian ialah kesihatan pelumba kerana mereka terdedah secara langsung kepada udara tercemar sepanjang perlumbaan.
“Sekiranya keadaan jerebu pada hari tertentu sangat ekstrem dan berbahaya, penganjur mungkin perlu membuat keputusan penting, termasuk membatalkan sesuatu peringkat,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini, termasuk di Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan ibu negara.
LTdL 2026 yang berlangsung dari 27 Sept hingga 4 Okt ini, dan memasuki edisi ke-30 penganjurannya, menampilkan lapan peringkat perlumbaan membabitkan keseluruhan jarak 1,285.5 kilometer.
-- BERNAMA