Am 15/09/2026 07:30 PM

Hakim Danish Sasar Keputusan Lebih Cemerlang Di GP Austria

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hakim Danish Sasar Keputusan Lebih Cemerlang Di GP Austria
fb Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) --- Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum kebangkitan yang dipamerkannya pada Grand Prix (GP) San Marino kelmarin apabila turun beraksi pada GP Austria di Litar Red Bull Ring, hujung minggu ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu hadir dengan keyakinan lebih tinggi selepas aksi di Litar Misano dan mahu memastikan kesilapan yang menyebabkannya dikenakan penalti grid pada perlumbaan berkenaan tidak berulang, sekali gus mengintai peluang untuk memulakan saingan dari kelompok hadapan.

Hakim Danish dikenakan penalti selepas didapati menunggang terlalu perlahan di beberapa sektor ketika sesi kelayakan pertama (Q1) dan terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-25, sebelum bangkit memperbaiki 13 kedudukan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

“Selepas perlumbaan di Misano, saya rasa lebih yakin dan keserasian dengan jentera juga semakin baik. Jadi, saya mahu membawa momentum itu ke Austria dan cuba mendapatkan persediaan lebih baik sejak sesi latihan bebas.

“Fokus utama saya adalah untuk mengharungi setiap sesi dengan konsisten, mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kedudukan grid dan mendapatkan kedudukan permulaan yang baik.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlumbaan nanti dan mengutip sebanyak mungkin mata untuk membantu saya memperbaiki kedudukan dalam kejuaraan,” kata pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu dalam kenyataan hari ini.

Menjelang aksi di Litar Red Bull Ring yang terkenal dengan laluan lurus panjang serta zon selekoh teknikal, anak didik Zulfahmi Khairuddin itu kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha mendapatkan pelarasan jentera terbaik seawal sesi latihan bebas bagi melayakkan diri secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2).

“Saya rasa pengalaman beraksi di Red Bull Ring sebelum ini banyak membantu kerana saya sudah mempunyai gambaran mengenai karakter litar dan perkara yang perlu diberi perhatian.

“Bagaimanapun, situasi kali ini berbeza kerana kami beraksi dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dan perlumbaan juga sengit. Jadi, saya perlu menyesuaikan diri dengan jentera serta keadaan perlumbaan semasa,” katanya.

Hakim Danish kini menghuni tangga kelapan kejuaraan dengan 94 mata selepas 14 pusingan Kejuaraan Dunia Moto3.

-- BERNAMA