Am 15/09/2026 07:42 PM

PAC Mulakan Prosiding Berhubung LTH, Teliti Pelaksanaan Syor RCI

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PAC Mulakan Prosiding Berhubung LTH, Teliti Pelaksanaan Syor RCI
Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini memulakan prosiding berhubung Lembaga Tabung Haji (LTH) bagi meneliti pelaksanaan syor penambahbaikan yang digariskan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding pertama yang berlangsung hampir empat jam itu memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku pihak kementerian yang mengawal selia LTH, Ketua Pegawai Eksekutif LTH dan pengurusan kanan lembaga berkenaan.

Beliau berkata prosiding itu bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi dan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan syor dalam Laporan RCI bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi LTH dari 2014 hingga 2020, yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lepas.

“Ini termasuk isu berkaitan kawal selia kerajaan ke atas LTH serta pengurusan, tadbir urus dan kewangan LTH terutama dalam memastikan kemampanan operasinya untuk jangka panjang di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

PAC juga akan memanggil semula saksi yang hadir hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta wakil Kementerian Kewangan, agensi di bawah JPM dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Mas Ermieyati berkata semua saksi berkaitan akan dipanggil sebelum PAC membentangkan penyatanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata PAC sedang memuktamadkan beberapa penyata termasuk berhubung pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah menerusi sistem e-Jamin, kutipan hasil yuran dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia, pelaksanaan Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi negara serta Pelaburan Hartanah Berhad.

“PAC akan terus melaksanakan peranan semak dan imbang ini selaras dengan fungsi terasnya demi memastikan akauntabiliti LTH khususnya dan kerajaan secara amnya sekali gus mengukuhkan semula keyakinan jutaan pendeposit terhadap LTH selaku institusi ulung yang menguruskan dana deposit haji jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA