Ekonomi 15/09/2026 07:44 PM

Pengguna Terima Rebat AFA RM3.1 Bilion Sejak 1 Julai 2025 - TNB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengguna Terima Rebat AFA RM3.1 Bilion Sejak 1 Julai 2025 - TNB

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pengguna elektrik menerima rebat berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) diperkenalkan pada 1 Julai, 2025 berbanding surcaj RM800 juta yang dikenakan dalam tempoh sama, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dalam satu kenyataan hari ini, TNB menjelaskan kerajaan turut menyalurkan tambahan sebanyak RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.

Syarikat utiliti itu menambah AFA diperkenalkan pada 1 Julai, 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

“AFA bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB. AFA berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing,” jelas TNB.

TNB memaklumkan apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat dengan penjimatan berkenaan dipulangkan menerusi bil elektrik.

Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April 2026.

Surcaj pula hanya mula dikenakan pada Mei 2026 apabila kos penjanaan meningkat susulan krisis di Asia Barat.

Bagi September 2026, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen setiap kilowatt-jam (kWj) dengan kadar berkenaan dikemas kini setiap bulan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga.

TNB pada masa sama memberitahu pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA selain cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan.

Menurutnya, di bawah struktur tarif baharu, kumpulan pengguna berkenaan membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.

Mengulas kebimbangan mengenai kenaikan bil elektrik, TNB menegaskan AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil selain menjelaskan faktor seperti musim perayaan, cuti sekolah dan bekerja dari rumah turut mempengaruhi corak penggunaan elektrik isi rumah.

Syarikat itu memberitahu pengguna boleh memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, meningkatkan kecekapan tenaga dan beralih kepada skim Time of Use (TOU) bagi memanfaatkan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak.

-- BERNAMA