Am 15/09/2026 07:01 PM

WCTGives "Threads Of Hope" Tingkat Kemahiran, Keyakinan Wanita Melalui Jahitan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
WCTGives
Kredit foto: WCT Holdings Bhd

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak 20 wanita dalam kalangan B40 dan komuniti berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan menamatkan program latihan jahitan selama 11 minggu menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) WCT Holdings Bhd (WCT) WCTGives “Threads of Hope”.

WCT memaklumkan program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Grace Community Services (GCS) serta Hazel & Nutz untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran jahitan yang mampu menjana pendapatan, di samping memperkukuh keyakinan, membina kehidupan yang lebih mampan serta meningkatkan daya tahan kewangan.

“Inisiatif ini disokong oleh sumbangan WCT berjumlah kira-kira RM42,000, merangkumi penajaan 10 mesin jahit, alatan jahitan asas serta bahan-bahan latihan, dengan mesin jahit berkenaan ditempatkan di pusat komuniti GCS bagi menyokong pembangunan kemahiran berterusan dan inisiatif latihan pada masa hadapan,” menurut WCT dalam kenyataan hari ini.

Diadakan di ibu pejabat GCS di Klang, sesi pembelajaran kemahiran jahitan selama empat jam seminggu itu dikendalikan oleh pengasas Hazel & Nutz, Hazel Loke yang dilantik sebagai jurulatih program bagi membimbing peserta menerusi teknik asas seperti merangka pola, memotong fabrik serta pembuatan jahitan, sebelum penyempurnaan projek-projek jahitan praktikal.

Sepanjang program itu, peserta telah menyiapkan pelbagai projek jahitan termasuk beg jerut, sarung bantal hiasan, beg jinjing boleh diterbalikkan, blaus batwing, skirt asas, apron, beg denim daripada jeans terpakai, uncang tisu poket, getah rambut (scrunchie) serta pelbagai hasil kraf tangan lain.

Kelas pengurusan perbelanjaan dan pengiraan kos turut diadakan bagi memberi pendedahan asas kepada peserta mengenai penentuan harga serta perancangan produk, sekali gus membantu peserta membangunkan kemahiran praktikal bagi menghasilkan barangan mempunyai nilai pasaran dan meneroka peluang penjanaan pendapatan.

Timbalan Pengarah Urusan WCT Datuk Peter Chow dalam kenyataan sama berkata inisiatif berkenaan mencerminkan pegangan syarikat itu bahawa impak komuniti yang bermakna bermula dengan penciptaan peluang kepada individu untuk belajar, berkembang dan merealisasikan potensi diri mereka.

“Kami berbesar hati dapat menyokong program yang memberikan dorongan, peralatan dan platform kepada peserta untuk melangkah ke peringkat seterusnya dengan penuh keyakinan. Kami berharap usaha ini terus membuka ‘pintu’ peluang baharu kepada mereka pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata program berkenaan membantu peserta memupuk kemahiran keusahawanan, penetapan matlamat dan kerja berpasukan, di samping menjalin ikatan persahabatan yang erat sepanjang program.

“Saya melihat keyakinan diri mereka semakin meningkat selepas setiap sesi ke satu sesi, dan itulah yang menjadikan pengalaman mengajar ini amat bernilai bagi saya,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif terbabit, peserta turut berpeluang mengaplikasikan kemahiran baharu mereka menerusi jualan prapesanan kraf tangan jahitan kepada warga kerja WCT, dengan berjaya mengumpul jualan berjumlah kira-kira RM2,555.

Selain daripada jumlah jualan itu, usaha berkenaan memberi pendedahan secara terus kepada peserta dalam menghasilkan produk kraf tangan kepada bakal pelanggan, sekali gus mengukuhkan keyakinan mereka terhadap nilai kemahiran yang telah dibina.

Seorang peserta, T. Premesvery berkata program itu membuktikan dirinya bahawa dia mampu belajar dan menghasilkan sesuatu dengan sendiri.

“Saya berasa amat bangga dengan hasil kerja yang telah saya siapkan dan mendorong saya untuk terus menjahit serta meneroka bagaimana kemahiran ini dapat membantu menjana pendapatan pada masa hadapan,” katanya.

Majlis graduasi yang diadakan menandakan pencapaian bermakna bagi peserta apabila mereka menerima Sijil Penyempurnaan sebagai pengiktirafan atas komitmen sepanjang program.

WCTGives “Threads of Hope” merupakan sebahagian daripada tonggak #WeCareTogether dan #EducationForAll di bawah WCTGives, yang menyokong inisiatif untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti, membangunkan keupayaan serta mewujudkan peluang yang lebih inklusif bagi golongan yang kurang mendapat sokongan.

Dilancarkan pada 2022, WCTGives turut memacu pemeliharaan alam sekitar menerusi tonggak #AGreenerTomorrow.

-- BERNAMA