Am 15/09/2026 06:24 PM

Emas Dijangka Kekal Pada US$4,000-US$5,000 Dalam Beberapa Tahun Akan Datang - Persatuan Emas Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Emas Dijangka Kekal Pada US$4,000-US$5,000 Dalam Beberapa Tahun Akan Datang - Persatuan Emas Malaysia
Gambar Fail

BATU KAWAN, 15 Sept (Bernama) -- Harga emas dijangka kekal antara US$4,000 dan US$5,000 setiap auns troy dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, dengan logam berharga itu kini diniagakan pada kira-kira US$4,350 setiap auns troy, menurut Persatuan Emas Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Louis Ng berkata emas kekal sebagai aset yang mendapat permintaan tinggi walaupun perubahan dalam trajektori kadar faedah ekonomi utama dunia boleh menjejaskan permintaan dan mempengaruhi pergerakan harga logam berharga itu.

“Pada pandangan saya, emas akan kekal stabil antara US$4,000 dan US$5,000 setiap auns troy untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang sehingga kita dapat melihat hala tuju kadar faedah,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pusat penapisan Public Gold di sini hari ini.

Menurut Public Gold, kemudahan itu merupakan pusat penapisan bertaraf antarabangsa pertama di Malaysia.

Ng, yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold berkata julat itu dijangka memberikan sokongan kukuh kepada harga emas, dengan pergerakan kadar faedah di Amerika Syarikat dan Jepun, antara faktor lain, terus mempengaruhi permintaan pelaburan terhadap emas.

Pusat penapisan baharu Public Gold itu terletak di tapak seluas 0.46 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan dengan keluasan binaan 43,472 kaki persegi. Ia boleh menapis sehingga 10 tan logam berharga setahun, dengan kapasiti untuk meningkat kepada antara 20 dan 50 tan setahun.

Pembinaan bermula pada 2024 dan kini telah mula beroperasi.

Ng berkata kemudahan yang melibatkan pelaburan sebanyak RM30 juta itu mampu menapis emas skrap di dalam negara berbanding menghantarnya ke kemudahan di luar negara, membantu mengurangkan kos pengangkutan, insurans dan penapisan.

Beliau berkata Public Gold telah mengeksport kira-kira dua tan emas skrap ke Hong Kong dan Singapura untuk penapisan sejak dua bulan lepas.

“Dengan pusat penapisan ini, yang mematuhi piawaian antarabangsa, kita boleh menapisnya di Malaysia,” katanya.

Projek ini telah mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan secara langsung, daripada jawatan teknikal dan kejuruteraan yang berkemahiran tinggi hingga kepada jaminan kualiti, operasi dan fungsi sokongan korporat.

Public Gold ditubuhkan pada 2008. Ia menawarkan perkhidmatan kepada lebih 2.6 juta pelanggan di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan baru-baru ini di Emiriah Arab Bersatu. Ia mempunyai ekosistem bersepadu yang merangkumi perdagangan, pembuatan dan penapisan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim merasmikan pelancaran itu.

-- BERNAMA