Am 15/09/2026 06:23 PM

Gangguan Semboyan Jejas Perkhidmatan, Tren Laluan Kelana Jaya Kembali Stabil

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gangguan Semboyan Jejas Perkhidmatan, Tren Laluan Kelana Jaya Kembali Stabil

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan tren Rapid KL laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan semboyan pagi tadi kembali stabil dan beroperasi mengikut jadual.

 Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan yang dikesan berlaku pada 9.14 pagi di Stesen Ampang Park itu menyebabkan tren berhenti dengan kedudukan pintu tren tidak sejajar dengan skrin pintu platform sekali gus menjejaskan kelancaran perjalanan penumpang.

Susulan kejadian itu, Rapid KL memaklumkan pasukan operasi dan teknikal telah mengambil tindakan segera untuk memulihkan sistem yang terjejas selain melalukan pemantauan berterusan bagi memastikan operasi kembali stabil secepat mungkin.

“Susulan tindakan yang dilaksanakan, operasi laluan Kelana Jaya kembali stabil dan semua tren kembali beroperasi mengikut jadual,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan kini melakukan pemantauan rapi terhadap sistem semboyan yang terlibat bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatan sentiasa berada pada tahap optimum.

Rapid KL juga memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penumpang akibat kejadian berkenaan.

-- BERNAMA