Am 15/09/2026 03:29 PM

PMKS, Kontraktor Perlu Diberi Ruang Sertai Rantaian Nilai Baharu Tranformasi Digital - Nanta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PMKS, Kontraktor Perlu Diberi Ruang Sertai Rantaian Nilai Baharu Tranformasi Digital - Nanta
Menteri Kerja Raya Datuk Alexander Nanta Linggi ketika berucap pada Majlis Perasmian Malaysia BIM Day 2026 dan Putrajaya BIM Roadmap 2030 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, hari ini.

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kontraktor tempatan perlu diberi ruang meningkatkan kemahiran, mengakses teknologi dan menyertai rantaian nilai baharu dalam transformasi digital industri pembinaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pendigitalan industri pembinaan perlu bersifat inklusif supaya manfaat transformasi teknologi dapat dirasai semua pihak dan tidak mewujudkan jurang baharu dalam industri.

"Pendigitalan mesti memperluas peluang, bukan memperluas jurang. Kita juga mesti ingat bahawa teknologi tidak bergerak dengan sendiri. Manusialah yang menghidupkannya. 

"Kita memerlukan profesional, kontraktor dan penjawat awam yang bukan sekadar tahu menggunakan teknologi tetapi mampu memimpin perubahan, mencipta penyelesaian dan membina kepakaran Malaysia sendiri," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Nanta berkata transformasi digital juga memerlukan ekosistem yang terbuka dan saling berhubung dengan kerajaan, industri, badan profesional, ahli akademik serta penyedia teknologi bergerak dalam arah yang sama.

Katanya, teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) turut menjadi jambatan kepada perubahan daripada pendekatan berasaskan projek kepada yang berasaskan aset apabila maklumat yang dibangunkan ketika perancangan dan pembinaan boleh terus dimanfaatkan dalam operasi serta penyelenggaraan.

“Pendigitalan bukan sekadar soal menggunakan perisian baharu. Ia soal menjaga amanah awam dengan lebih baik. Apabila maklumat lebih tepat, kesilapan dan pembaziran dapat dikurangkan. Apabila aset diurus dengan lebih pintar, perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih baik,” katanya.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memperkukuh peranan projek kerajaan sebagai pemacu standard, produktiviti dan pendigitalan industri, selain meningkatkan kompetensi serta penggunaan teknologi yang memberikan nilai sebenar kepada projek, aset kerajaan dan rakyat.

"Keupayaan tenaga profesional, kontraktor dan penjawat awam dalam menguasai teknologi serta memimpin perubahan akan menentukan produktiviti dan daya saing negara, selain membantu membina infrastruktur yang lebih mampan dan berdaya tahan," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata Putrajaya perlu beralih daripada fokus membina bandar kepada mengurus aset yang dibangunkan dengan lebih pintar, selaras dengan usianya yang kini mencecah kira-kira 30 tahun sebagai bandar terancang dan pusat pentadbiran negara.

"BIM membolehkan maklumat yang diwujudkan ketika sesuatu projek dibangunkan terus digunakan bagi operasi, penyelenggaraan dan pengurusan aset selepas projek siap," katanya.

Beliau berkata Hala Tuju BIM Putrajaya 2050 akan membawa Putrajaya daripada penyampaian projek secara digital kepada pengurusan aset pintar dan seterusnya keupayaan Digital Twin Putrajaya, supaya maklumat pembangunan serta operasi bandar dapat digunakan secara lebih bersepadu.

“Bagi saya, bandar pintar bukan bandar yang mempunyai paling banyak teknologi. Bandar pintar ialah bandar yang tahu menggunakan maklumat untuk membuat keputusan yang lebih baik,” katanya.

Hannah berkata sejak 1 Julai 2025, projek pembangunan baharu bernilai RM10 juta dan ke atas diwajibkan menggunakan BIM melalui Pekeliling Perbendaharaan PK 1.15.

Katanya, penggunaan BIM perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar kepada kerajaan dan rakyat, khususnya dalam mengurangkan pembaziran, mempercepat penyelenggaraan, mengesan masalah lebih awal serta memastikan aset awam diurus dengan lebih baik.

“Kalau BIM boleh membantu kita mengurangkan pembaziran, membuat keputusan lebih awal dan menjaga aset awam dengan lebih baik, maka ia bukan lagi sekadar teknologi pembinaan.

"Ia menjadi sebahagian daripada pembaharuan cara kerajaan bekerja dan pembaharuan itu mesti menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

-- BERNAMA