SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) -- Empat daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang semalam ditemukan selamat oleh nelayan tempatan dalam keadaan terapung, kira-kira 25 batu nautika dari pantai Sungai Besar, perairan Sekinchan, dekat sini hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata keempat-empat mangsa ditemukan dalam keadaan lemah dan berada berdekatan antara satu sama lain pada kira-kira 9.50 pagi.
"Dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan bagi mengesan tiga lagi mangsa, termasuk tekong, dengan sektor pencarian diperluaskan kepada 203.5 batu nautika persegi.
Beliau berkata sektor pencarian melalui udara pula meliputi kawasan seluas 764 batu nautika persegi.
Beliau berkata SAR hari kedua itu membabitkan aset laut dan udara APMM, selain aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua bot nelayan tempatan.
"APMM akan terus menyelaraskan usaha pencarian bersama agensi terlibat bagi memastikan SAR ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada APMM Selangor di talian 013-660 6652 bagi membantu usaha pencarian dan menyelamat," katanya.
Terdahulu, enam pemancing dan seorang tekong dilaporkan hilang selepas gagal dikesan di perairan One Fathom Bank, berhampiran Pulau Ketam, awal pagi semalam.
-- BERNAMA