Oleh Norhidayyu Zainal
BEIJING, 15 Sept (Bernama) -- Kekuatan mesej sejagat serta kisah yang dekat dengan kehidupan masyarakat diyakini mampu menjadi “pasport” bagi filem Malaysia menembusi pasaran China yang luas dan kompetitif.
Perkara itu terserlah menerusi sambutan positif penonton tempatan terhadap lima karya Malaysia yang ditayangkan pada China–Malaysia Film Festival 2026 bersempena dengan Musim Kebudayaan Xingtan ke-12 di sini, yang dirasmikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Dr Hans Isaac, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Alpha Unit Films & Distribution Sdn Bhd dan China Film Industry Group Co Ltd dengan sokongan FINAS itu menampilkan lima filem tempatan, iaitu A Mighty Adventure, Ah Beng vs Liang Po Po, Babah, The Last Dive dan Abah Saya, Uncle Mike, yang dipilih oleh rakan industri China daripada kira-kira 30 judul yang dikemukakan menerusi proses pemilihan terbuka.
Pengarah Eksekutif Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd Datin Dr Wendy Wong berkata penerimaan terhadap The Last Dive di luar jangkaan kerana penonton tertarik dengan isu pemuliharaan laut, keindahan dunia bawah air serta kisah watak orang kurang upaya mengatasi cabaran hidup.
“Mereka bukan sekadar memuji filem berkenaan, tetapi turut menyatakan rasa hormat terhadap Malaysia kerana menghasilkan karya yang mengambil berat mengenai isu global. Ada juga yang menyifatkan visualnya seperti filem Hollywood dan kami berharap maklum balas ini membuka jalan untuk The Last Dive ditayangkan secara lebih meluas di China,” katanya kepada Bernama selepas sesi tayangan filem itu, di sini baru-baru ini.\
Wong berkata sesi meja bulat bersempena dengan festival itu turut memberikan pendedahan tentang peraturan penapisan, strategi pemasaran, fi agensi, kandungan yang berpotensi diterima serta peluang penerbitan bersama antara syarikat kedua-dua negara.
“Pengedar di sini cenderung kepada karya menyentuh hati yang mempunyai unsur percintaan dan kekeluargaan, selain mahu melihat budaya, kehidupan masyarakat, suasana bandar serta makanan Malaysia,” katanya.
Bagi penerbit filem Babah, Nadia Mohd Nadzri, pemilihan karya terbitan Nads Media Entertainment Sdn Bhd itu membuktikan kisah kekeluargaan tempatan mampu merentas sempadan budaya dan menyentuh hati penonton antarabangsa.
“Kami tidak menyangka Babah akan terpilih daripada begitu banyak judul. Saya percaya kekuatannya terletak pada mesej dan hubungan antara bapa dengan anak perempuan yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat serta mudah dirasai penonton tanpa mengira latar budaya,” katanya.
Perjalanan Babah ke pentas antarabangsa sebelum ini merangkumi tayangan pawagam di Brunei dan Singapura, selain ditawarkan menerusi Netflix serta menyertai festival filem di Kemboja yang menyaksikan karya itu meraih pengiktirafan menerusi kategori pelakon wanita terbaik.
“China tidak pernah berada dalam senarai pasaran yang kami terokai sebelum ini, jadi pemilihan ini membuka lembaran baharu buat Babah. Kami berharap filem ini dapat menembusi pasaran di sini dan membuktikan bahawa kisah keluarga dari Malaysia juga mampu menyentuh hati penonton China,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Alpha Unit Films & Distribution Sdn Bhd Ryan Lim berkata festival tersebut direalisasikan menerusi rundingan yang melibatkan pelbagai pihak di Malaysia serta China sejak setahun lalu.
“Cabaran utama adalah memastikan filem yang dicadangkan dapat diterima penonton China sehingga mereka sanggup menontonnya di pawagam,” katanya, mengakui China mempunyai kaedah pemilihan tersendiri, termasuk dari segi peraturan penapisan serta genre yang boleh diterima dalam pasaran negara itu.
Beliau juga berharap kerjasama antara Alpha Unit Films & Distribution Sdn Bhd dan FINAS itu dapat memperkukuh hubungan industri filem Malaysia dengan China, termasuk membuka lebih banyak peluang dalam aspek pengedaran dan penerbitan bersama.
“Walaupun kami datang daripada syarikat berlainan, kami mempunyai satu hasrat iaitu menjayakan industri perfileman Malaysia, dan bersama-sama FINAS, kami mahu bergerak ke arah yang lebih besar. Program di China ini hanyalah permulaan,” katanya.
-- BERNAMA