Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 8 Sept (Bernama) -- Usaha Kemboja untuk memulihara burung hering yang sangat terancam membantu melindungi spesies itu, namun keracunan tidak disengajakan masih menjadi ancaman terhadap kelangsungan hidupnya.
Ketika dunia menyambut Hari Kesedaran Burung Hering Antarabangsa Sabtu lepas, aktivis pemuliharaan Kemboja meraikan peningkatan populasi burung hering kepada 163 ekor, jumlah tertinggi sejak pemantauan bermula pada 2016.
“Sejak lebih 15 tahun lepas, pihak berkepentingan di Kemboja membangunkan pelan tindakan 10 tahun bagi menangani semua isu utama untuk melindungi populasi burung hering.
“Kami menyediakan makanan tambahan kepada burung hering bagi menangani kekurangan makanan, memantau kejadian keracunan, melindungi sarangnya dan melantik penjaga (petani tempatan),” kata Ketua Pegawai Eksekutif NatureLife Cambodia Bou Vorsak kepada Bernama.
Kemboja kekal sebagai antara benteng terakhir bagi burung hering di Asia Tenggara, dengan tiga spesies yang sangat terancam iaitu burung hering belakang putih, burung hering paruh tirus dan burung hering kepala merah masih hidup di hutan tropika di utara dan timur negara itu.
Aktivis pemuliharaan di seluruh dunia berusaha menghentikan kemerosotan populasi spesies yang sangat terancam itu, yang berdepan ancaman akibat pembandaran pesat, kehilangan habitat, kekurangan makanan dan keracunan.
“Cabaran utama kami ialah keracunan, namun tiada kematian burung hering akibat keracunan direkodkan sejak tiga tahun lepas. Keracunan berlaku apabila burung hering secara tidak sengaja memakan bangkai haiwan yang diracun.
“Populasi burung hering menunjukkan kami masih mempunyai landskap hutan yang baik di dataran timur laut. Burung hering memerlukan kawasan habitat sesuai yang luas dan Kemboja masih mempunyai habitat yang baik untuk spesies itu,” kata Vorsak.
Menurut pakar, perbuatan meracun haiwan liar dan ternakan serta penggunaan racun perosak dan racun herba terus mengancam burung hering berhampiran habitat utama di Kemboja.
Naib Pengerusi Kumpulan Kerja Burung Hering Kemboja Alistair Mould berkata populasi burung hering yang stabil menunjukkan usaha pemuliharaan secara berterusan dan bersasar berkesan dalam melindungi burung berkenaan.
“Bagaimanapun, spesies ini masih sangat terancam dan untuk mengekalkan kemajuan ini memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, rakan pemuliharaan dan komuniti tempatan bagi menangani ancaman yang terus dihadapi spesies berkenaan.”
Kawasan perlindungan hidupan liar di Lomphat, Siem Pang, Chhaeb-Preah Roka, Sambo dan Srepok menyediakan tempat perlindungan bagi burung hering yang jarang ditemui di Kemboja.
-- BERNAMA