JOHOR BAHRU, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor melaksanakan operasi besar-besaran bagi menangkap anjing liar susulan insiden seorang kanak-kanak perempuan diserang lima ekor haiwan itu di Kampung Tambak, Peserai, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah bersepadu itu dilaksanakan bagi memastikan anjing berkenaan bebas daripada jangkitan rabies, sekali gus meredakan kebimbangan keluarga serta pasukan perubatan.
"Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, kita mengarahkan operasi besar-besaran bagi menangkap anjing liar di kawasan tersebut, terutamanya bagi mengenal pasti kesemua anjing liar tersebut bebas daripada rabies bagi maksud keselamatan anak kita (mangsa) ini," katanya pada sidang media di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Beliau berkata Pejabat Daerah Batu Pahat telah memulakan operasi tangkapan susulan sejak semalam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi susulan itu dibuat selepas tiga siri operasi MPBP bersama JPV pada 12, 26 dan 30 Ogos lepas yang berjaya menangkap 22 ekor anjing liar, namun populasi haiwan terbabit dikesan masih tinggi di kawasan berkenaan.
Bagi memastikan keberkesanan operasi, Mohd Fared berkata agensi terlibat digesa agar tidak hanya bergantung pada kaedah sedia ada, sebaliknya mempelbagaikan pendekatan yang dibenarkan undang-undang.
Beliau berkata tindakan tegas itu turut akan diperluas ke seluruh daerah di negeri ini susulan arahan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyegerakan operasi kawalan haiwan liar.
Sementara itu, bagi mengurangkan beban keluarga mangsa, Mohd Fared berkata Kerajaan Negeri Johor memberi komitmen penuh untuk menanggung keseluruhan kos perubatan dan rawatan susulan mangsa di HSA selain menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga terutamanya abang mangsa berusia 12 tahun yang menyaksikan kejadian berkenaan.
Mohd Fared berkata orang ramai juga diminta agar memadam dan menghentikan sebaran gambar mangsa di media sosial demi menjaga privasi keluarga, selain memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan hantaran berkaitan.
Terdahulu, beliau meluangkan masa menziarahi mangsa, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi, 2, dan keluarganya, selain mendapatkan perkembangan rawatan kanak-kanak itu di HSA.
Pada Ahad lepas, media melaporkan kejadian menyayat hati itu yang menyaksikan mangsa diserang sekumpulan haiwan liar berkenaan sehingga mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata abang kepada Nur Haira Wafiqah mengalami trauma emosi selepas menyaksikan kejadian itu dan kini diberi pelepasan sekolah dua minggu untuk menjalani rawatan kaunseling.
Berkongsi mengenai keadaan Nur Haira Wafiqah, beliau berkata anak bongsunya itu masih ditidurkan dan sudah menjalani pembedahan pertama bagi merawat kecederaan yang dialami dan kini masih dalam pemantauan doktor.
-- BERNAMA