Am 08/09/2026 02:59 PM

Johor Nafi Penglibatan Barisan Pentadbiran Negeri Dalam Rasuah Permohonan Lot Tapak Rumah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Johor Nafi Penglibatan Barisan Pentadbiran Negeri Dalam Rasuah Permohonan Lot Tapak Rumah
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menafikan penglibatan pentadbiran termasuk dalam kalangan Exco atau pegawai dalam penahanan seorang lelaki yang disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa berkaitan urusan permohonan lot tapak perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berharap agar semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan kes itu dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu atau menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dalam apa juga urusan berkaitan perumahan rakyat.

“Kita sedang bertungkus-lumus memastikan lebih ramai Bangsa Johor mempunyai akses kepada rumah mampu dimiliki. Amanah sebesar ini tidak boleh dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengambil kesempatan atas harapan dan kesusahan rakyat untuk memiliki sebuah rumah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mohd Jafni memaklumkan kerajaan negeri terus komited dalam mencapai sasaran 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang akhir tahun ini, dengan lebih 21,000 unit telah siap dan diserahkan setakat ini.

Beliau berkata inisiatif itu sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam memastikan agenda pemilikan rumah rakyat Johor terus dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti.

Pada masa sama, Mohd Jafni meminta rakyat sentiasa berurusan melalui saluran rasmi dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat permintaan sebarang bayaran.

“Dalam soal rumah rakyat, amanah mesti dijaga. Hak rakyat jangan sekali-kali diperdagangkan,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa berhubung urusan permohonan lot tapak perumahan.

Lelaki berusia lingkungan 40-an disyaki melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2025 dan menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang kira-kira RM4,000 daripada setiap 400 pemohon membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta. 

Wang itu disyaki diseleweng untuk kegunaan sendiri menerusi pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa tersebut dengan menggunakan invois palsu.

-- BERNAMA