GEORGE TOWN, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang mengkaji potensi tenaga nuklear dalam campuran tenaga pada masa hadapan dengan kerajaan turut melaksanakan kerja persediaan dalam pembangunan teknologi, bakat dan kawal selia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang bagaimanapun berkata persediaan itu tidak bermaksud kerajaan telah memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber kuasa.
“Sudah tentu kita sedang melakukan kerja persediaan. Ia tidak bermakna kita telah membuat keputusan tetapi kita perlu bersedia supaya kerangka kawal selia serta bakat sudah bersedia dan pada masa sama juga perlu memastikan industri juga bersedia.
“Tiga bidang di bawah portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan usaha kesiapsiagaan tenaga nuklear (pembangunan teknologi, bakat, dan kawal selia) manakala bidang lain akan dipertimbangkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.
Chang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) 2026 edisi kesembilan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) anjuran Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini hari ini.
Hadir sama Canselor UTP Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican.
Chang berkata peningkatan permintaan tenaga Malaysia yang didorong perkembangan sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan termaju, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data skala mega memerlukan negara mempertimbangkan pelbagai pilihan bagi memenuhi keperluan tenaga jangka panjang.
Beliau berkata persediaan itu memerlukan lebih daripada sekadar penilaian teknologi kerana Malaysia juga memerlukan keupayaan saintifik dan kejuruteraan yang kukuh, kerangka kawal selia dan keselamatan yang mantap, tenaga kerja sangat kompeten serta kesediaan industri domestik.
“Malaysia mesti memastikan pertumbuhan ekonomi dan teknologi disokong oleh sumber tenaga yang selamat, berpatutan dan semakin mampan selain juga perlu memperkukuh keupayaan dalam teknologi strategik dan teknologi memuncul termasuk AI, bahan termaju, angkasa lepas dan teknologi nuklear,” katanya.
Chang berkata usaha itu selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2030 yang menyediakan hala tuju strategik untuk memperkukuh keupayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) Malaysia melalui penyelidikan dan pembangunan, bakat sedia masa depan, penerimaan teknologi dan inovasi.
Beliau berkata aspirasi STI Malaysia juga diperluas ke peringkat serantau dengan kerjasama lebih erat ASEAN diperlukan dalam bidang seperti ketersambungan tenaga, infrastruktur digital, penyelidikan dan teknologi memuncul.
Kerjasama seperti itu, menurut Chang amat penting dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing rantau ini di tengah-tengah perubahan teknologi yang pesat, cabaran iklim serta ketegangan geopolitik.
-- BERNAMA