KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Ilmuwan Islam perlu memahami perkembangan teknologi dan perubahan semasa bagi membantu umat mendepani cabaran kecerdasan buatan (AI), algoritma dan media sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkembangan teknologi telah mengubah landskap penyampaian ilmu apabila persoalan agama kini tidak lagi hanya dibincangkan di mimbar atau majlis ilmu, malah turut dipengaruhi media sosial dan aplikasi AI.
“Medannya sudah berubah. Dahulu orang cari guru. Hari ini, algoritma mencari mereka terlebih dahulu. Ia turut dibentuk oleh ChatGPT, TikTok serta banyak lagi ruang media sosial dan aplikasi AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata akses kepada ilmu dan pendidikan kini semakin luas, manakala medan dakwah semakin terbuka apabila teknologi membolehkan ilmu disampaikan kepada sesiapa sahaja dalam sekelip mata.
Namun, beliau berkata perkembangan itu turut membawa cabaran apabila masyarakat masih berdepan kekeliruan pegangan, keretakan institusi keluarga serta generasi muda yang mendapatkan jawapan daripada sumber yang belum tentu tepat.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkembangan berkenaan menuntut ilmuwan Islam bukan sahaja menguasai ilmu dan kitab, tetapi turut mampu “membaca zaman” dengan memahami teknologi serta realiti semasa tanpa mengabaikan asas ilmu agama.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan ilmuwan dapat membimbing masyarakat dengan mengambil kira perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian.
“Kukuh pada turath tetapi memahami teknologi. Teguh pada nas, tetapi mengerti realiti. Jelas pada hukum tetapi tidak kehilangan hikmah dalam membimbing masyarakat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata peranan ilmuwan pada masa kini juga tidak seharusnya terhad kepada menjawab persoalan yang timbul, sebaliknya membantu umat memahami perubahan, menyusun keutamaan dengan bijaksana serta membezakan antara maklumat benar dan yang mengelirukan.
Beliau berkata ilmuwan turut mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan arah kebenaran dan menghimpunkan kekuatan umat dalam perkara yang membawa maslahat kepada masyarakat.
-- BERNAMA