Ekonomi 08/09/2026 02:56 PM

Malaysia Jangka Sembilan GW Kapasiti Kuasa Gas Digunakan Menjelang 2023 Tampung Peningkatan Permintaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Jangka Sembilan GW Kapasiti Kuasa Gas Digunakan Menjelang 2023 Tampung Peningkatan Permintaan
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap ketika merasmikan Wawasan Kawal Selia Tenaga 2026 di Bandar Sunway, hari ini.

PETALING JAYA, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia menjangkakan kira-kira sembilan gigawatt (GW) kapasiti kuasa gas akan digunakan menjelang 2032, bagi menampung permintaan elektrik yang semakin meningkat di samping menamatkan penjanaan arang batu secara berperingkat.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kapasiti itu akan menjadi sebahagian daripada usaha negara untuk mengurus permintaan elektrik, dengan loji janakuasa arang batu terakhir dijangka  ditamatkan pada 2044.

Beliau berkata permintaan tenaga menunjukkan trend meningkat didorong oleh faktor-faktor termasuk pertumbuhan penduduk dan penggunaan yang lebih tinggi daripada sektor intensif tenaga seperti pusat data.

"Dari segi unjuran permintaan tenaga, sudah tentu kita melihat corak peningkatan. Satu daripadanya ialah pertumbuhan penduduk.

“Tetapi yang kedua, terdapat juga peningkatan penggunaan tenaga oleh sektor penggunaan tinggi seperti pusat data,” katanya kepada pemberita selepas Forum Energy Regulatory Insights 2026, di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata keadaan cuaca dan iklim juga boleh mengubah corak permintaan tenaga, terutamanya apabila keadaan yang lebih panas meningkatkan keperluan untuk sistem penyejukan dan penyaman udara.

Dalam keadaan ini, katanya, pengurusan permintaan tenaga akan menjadi sama pentingnya dengan pengurusan bekalan tenaga dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Saya fikir untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia perlu terus berdisiplin untuk memastikan sistem kita sentiasa dinaik taraf, bukan sahaja dari segi kuasa yang dijana, tetapi juga grid dan infrastruktur, supaya sistem kita kekal mampu milik, selamat dan mampan,” katanya.

Beliau berkata perancangan tenaga bukan sahaja perlu ditumpukan pada megawatt yang perlu digunakan dalam sistem, tetapi juga pada kecekapan dan pemuliharaan tenaga.

Katanya, perancangan itu perlu diuruskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan negara dapat menampung permintaan sambil terus komited terhadap usaha kemampanan dan mengurangkan jejak karbon sektor tenaga.

Terdahulu menerusi ucapannya Akmal Nasrullah menggariskan tiga keutamaan untuk fasa pembaharuan tenaga seterusnya, bermula dengan keperluan untuk pasaran tenaga yang kompetitif dan progresif di samping peraturan yang jelas dan boleh diramal serta pengaturan akses telus.

Kedua, beliau berkata kapasiti penjanaan yang semakin berkembang perlu disokong oleh grid moden yang pintar, selamat dan fleksibel, dengan pemodenan grid di bawah Rancangan Malaysia ke-13 dianggap sebagai infrastruktur ekonomi penting untuk membolehkan pelaburan berhubung dengan lebih pantas, meningkatkan kecekapan sistem dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang andal.

Ketiga, katanya, kecekapan tenaga mesti dianggap sebagai sumber tenaga yang tersendiri, kerana ia dapat mengurangkan kos operasi, mengurangkan tekanan ke atas sistem dan memperkukuh daya saing.

Sementara itu , beliau berkata Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) yang pertama mengatasi sasaran asalnya, dengan memberikan penjimatan elektrik kumulatif sebanyak 60,886 gigawatt-jam, bersamaan dengan penjimatan RM16.1 bilion, dari 2016 hingga 2025.

Di bawah NEEAP 2.0, Malaysia menyasarkan pengurangan permintaan tenaga sebanyak 11.6 peratus berbanding senario perniagaan menjelang 2035, yang dijangka dapat membantu mengurangkan kos tenaga, mengurangkan tekanan ke atas sistem dan menyokong aktiviti ekonomi yang lebih produktif dan berdaya saing.

-- BERNAMA